DUA atlet olahraga remaja negara berjaya mencuri slot ke Kejohanan Olahraga Dunia bawah 20 tahun (B-20) di Lima, Peru, Ogos depan, selepas melepasi had kelayakan, ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Asia B-20 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pelari berasal dari Sabah, Pengiran Aidil Auf Hajam menempah tempat ke Peru selepas mencatat masa 21.33 saat (s) dalam acara 200 meter (m) melepasi kelayakan ditetapkan Olahraga Dunia (World Athletics) 21.35s.
Catatan Aidil itu dilakukan pada aksi separuh akhir sekali gus turut memadam catatan masa peribadi terbaiknya, 21.36s yang dilakukan di Terbuka Singapura tahun lalu.
Jurulatihnya, Jumain Taepe yang mengiringi atlet terbabit ke Dubai berkata, beliau sememangnya menjangka Aidil mampu layak ke Peru.
“Saya sangat bersyukur kerana dia capai sasaran catat masa peribadi terbaik 21.33s seterusnya melepasi kelayakan pada Kejohanan Remaja Dunia di Lima, Peru.
“Saya sangat berharap Aidil masih boleh lakukan catatan peribadi terbaik lagi pada aksi final nanti,” kata jurulatihnya, Jumain ketika dihubungi.
Aidil ketika ini dalam persiapan untuk turun memburu podium pada aksi final 200m kira-kira pukul 11.40 malam ini waktu Malaysia.
Sementara itu, atlet lompat kijang negara, Ng Tak Sing paling mencuri tumpuan apabila berjaya meraih pingat gangsa pertama buat Malaysia selepas melakukan 15.62m.
Dia bukan sekadar meraih pingat malah akan bersama-sama Aidil ke Peru, selepas lompatannya melepasi had kelayakan 15.50m yang ditetapkan Olahraga Dunia.