PENGIRAN Aidil Auf Hajam menyumbang pingat kedua negara di Kejohanan Olahraga Asia bawah 20 tahun (B-20) di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga perlumbaan akhir 200 meter (m) lelaki.

Aidil yang melepasi had kelayakan ke Kejohanan Olahraga Dunia B-20 di Lima, Peru Ogos depan, memperbaiki catatan peribadi apabila menamatkan larian dengan masa 21.28s.

Bagaimanapun catatan itu gagal menyaingi kepantasan pelari Thailand, Wirayut Daenkhanob, 20.84s dan Hong Kong, Magnus Prostur Johannsson 20.92s, yang memenangi pingat emas dan perak.

Pengiran Aidil terus mempamerkan peningkatan.

Jurulatihnya, Jumain Taepe menganggap pencapaian Aidil meraih pingat gangsa kali ketiga di kejohanan bawah umur di peringkat Asia, satu pencapaian yang membanggakan.

“Sebelum bertanding kami hanya merancang untuk mencatat masa terbaik peribadi yang baharu. Dalam masa sama, saya berpesan keapda Aidil, jika mahukan pingat gangsa, perlu kalahkan atlet Thailand iaitu Nuansi (Sarawat Nuansi) kerana Daenkhanob dan Johannsson terlalu bagus untuk disaingi,” kata Jumain ketika dihubungi.

Hanssen Yap melepasi had kelayakan ke Kejohanan Dunia B-20, apabila merakam 10.41s dalam acara 100m di peringkat separuh akhir Kejohanan Olahraga Asia B-20.

Ironinya, pesanan Jumain itu benar apabila Aidil berjaya menamatkan larian di hadapan Nuansi dengan perbezaan masa 0.02s.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard mengesahkan seorang lagi pelari negara, Hanssen Yap turut melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Dunia B-20, menjadikan tiga atlet kini layak ke kejohanan itu.

Ng Tak Sing layak ke Lima, Peru dalam acara lompat kijang.

“Hanssen gagal menyumbang pingat kepada negara namun berjaya mencatat masa 10.41s di separuh akhir 100m lelaki,” katanya.

Catatan Hanssen itu melepasi had kelayakan 10.55s yang ditetapkan untuk atlet beraksi di Lima.

Justeru, selain Hanssen, Aidil (200m) dan Ng Tak Sing (lompat kijang) melengkapkan trio remaja negara layak beraksi di Lima Ogos nanti.