PANGKALAN latihan di Eropah amat perlu jika Malaysia serius mahu bersaing dalam acara lebuhraya dan acara trek endurance, di peringkat dunia.

Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley berkata, pangkalan latihan di Eropah itu bakal membolehkan pelumba negara menjalani latihan dan menyertai kejohanan sepanjang tahun di Eropah, yang menjadi kunci kepada program pembangunan dalam acara itu.

Sebelum ini, skuad pecut trek negara berpangkalan di Melbourne, Australia dari pertengahan tahun 2,000 hingga tahun lalu.

Program di Australia berjaya melahirkan pelumba seperti Datuk Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Rizal Tisin, Shah Firdaus Sahrom dan ramai lagi.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaa, John Beasley mencadangkan pangkalan latihan di Eropah jika serius mahu memajukan skuad berbasikal lebuhraya dan trek endurance.

“Jika mahukan kejayaan dalam acara lebuhraya dan trek endurance, kita perlu tinggal berada dalam budaya itu,” kata Beasley.

Tambahnya, pangkalan di Eropah membawa tujuan yang hampir sama dengan apa yang dilakukan pasukan trek pecut.

“Kita perlu membawa atlet keluar daripada zon selesa mereka dan menyelami budaya perlumbaan di Eropah.

“Jika memasang impian untuk berlumba di Tour de France, awak perlu menyasarkan standard lebih tinggi daripada Asia.

“Standard perlumbaan lebuhraya di Eropah, sudah tentu jauh lebih tinggi daripada di siin (Asia). Atlet Asia dikategori  B dalam lebuhraya dan kategori A semuanya melibatkan pelumba yang bersaing di Eropah.”

Menurutnya, regim latihan lebuhraya dan trek endurance, hampir sama dan yang berbeza hanyalah trek pecut yang memerlukan system tenaga anaerobic dan kekuatan bawah badan.