PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ‘turun padang’ untuk meninjau keadaan semasa pasukan Harimau Malaya B-23 di Hotel Muong Thanh, Phu Tho pada Rabu.

Skuad kendalian Brad Maloney itu menggalas misi getir menghadapi aksi separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA 2021 bertemu pasukan tuan rumah, Vietnam di Stadium Viet Tri, jam 8.00 malam esok (waktu Malaysia).

Bagaimanapun, Hamidin kekal optimis dengan kemampuan barisan pemain muda negara untuk berdepan pasukan tuan rumah kejohanan yang dianggap sebagai pilihan dalam kejohanan temasya dwitahunan ini.

“Saya tetap berbangga dengan pencapaian skuad muda negara tidak kira apa jua keputusan yang berlaku pada malam esok (Khamis).

“Namun kata orang, ‘pantang berundur sebelum berjuang’ dan kita harus ingat bahawa sentimen anak Malaysia adalah pantang menyerah dan pantang dicabar.

“Harapan saya adalah pemain-pemain bermain demi negara, bukannya untuk nama kerana apabila kita berjuang demi Malaysia, auranya inilah bakal menjadi penyuntik motivasi terbaik untuk kita berdepan Vietnam nanti,” ujarnya.

Skuad negara mara ke saingan separuh akhir selepas bergelar naib juara Kumpulan B selepas mencatat satu kemenangan dan dua seri.