ATLET para powerlifting negara, Azlan Mos, membuat pengorbanan besar apabila meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke ibu negara sejak tahun lalu demi mengembangkan kariernya dalam sukan powerlifting.
Keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai pegawai inventori di sebuah pasar raya, di mana dia telah berkhidmat hampir lima tahun bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan sebagai atlet kebangsaan merupakan satu langkah berani dan penuh tekad.
Menurutnya keputusan ini bukan mudah, namun dia percaya ia adalah langkah penting untuk masa depan dan kerjayanya.
Mula menjejakkan kaki ke pentas sukan dengan mewakili Sarawak dalam sukan tenpin boling di Para Sukan Malaysia (SUKMA) pada edisi 2016 dan 2018, anak jati Sebuyau ini tekad untuk beralih ke acara powerlifting pada SUKMA seterusnya.
“Pada 2019, saya fikir yang sukan kerdil seperti tenpin boling tidak dipertandingkan di luar negara.
“Bukan saya mahu memperkecilkan sukan itu, tetapi saya mahu pergi lebih jauh dalam karier sukan saya,” ujar Azlan yang dipetik daripada website rasmi TV Sarawak.
Azlan juga sedar cabaran yang dihadapinya dalam sukan powerlifting bukanlah mudah, tetapi dia bersedia menempuh segala kesakitan dan pengorbanan.
“Orang kata badan sakit main powerlifting, tapi sukan memang ada cabarannya. Contoh, Bonnie Bunyau Gustin juga bermula dari bawah,” ujarnya lagi.
Disamping itu, ahli keluarga terutama, ibunya, telah menjadi sumber inspirasi dan dorongan yang kuat dalam perjalanan kariernya ini.
Anak ketiga daripada lima beradik ini berkongsi bahawa beliau akan menggunakan insentif SUKMA yang diterimanya untuk menabung dan sebahagiannya akan diberikan kepada ibunya di kampung.
“Saya sentiasa beri elaun bulanan kepada ibu, dan untuk insentif SUKMA kali ini, saya akan jadikan sebahagiannya sebagai simpanan dan semestinya beri bonus kepada orang tua saya,” katanya.
Azlan membuktikan keputusan untuk berlatih di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) adalah tepat, setelah berjaya mempertahankan pingat emas di Para SUKMA 2024 dengan angkatan terbaik 171 kg, sekali gus memecahkan rekod 170 kg yang dipegang oleh Bonnie Bunyau Gustin sewaktu edisi 2018.
Azlan kini berazam untuk terus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa, dengan sasaran memperbaiki rekod peribadi di pentas Powerlifting World Cup 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, serta Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand.