ATLET para Sarawak, Mohd Farissan Jasnal, membuat keputusan untuk menceburi kerjaya sebagai atlet para sepenuh masa selepas berjaya memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh lelaki T38 pada temasya Para Sukma yang berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada Rabu.
Farissan, yang sebelum ini merupakan seorang nelayan, menyatakan bahawa inisiatif Kerajaan Sarawak yang menyediakan elaun bulanan kepada atlet para menjadi sebab utama dia untuk terus berlatih dan mencapai kejayaan.
“Saya seorang nelayan yang menjadi atlet, sekarang sudah dapat menang emas jadi lepas ini tumpukan jadi atlet saja.
“Lagipun Kerajaan Sarawak mengambil berat kepada atlet Para dan kami diberi elaun setiap bulan untuk berlatih, jadi boleh saya keluar dari nelayan,” katanya yang di petik daripada website rasmi Suara Sarawak.
Farissan turut menyatakan bahawa dengan elaun yang diterima dapat memberi fokus sepenuhnya kepada latihan, sekaligus meningkatkan lagi prestasinya pada masa hadapan.
“Apabila usia semakin meningkat, lama saya tidak dapat memenangi pingat emas tapi akhirnya saya kembali tahun ini.
“Dengan kemenangan ini, membakar semangat saya untuk terus menjalani latihan hingga Para Sukma akan datang,” katanya lagi.
Anak jati Kampung Bako ini bukan lagi nama asing dalam sukan para kerana pernah memenangi pingat emas dan menjadi pemegang rekod dalam acara lompat jauh T38 semasa Sukan Para Asia di Myanmar pada tahun 2013.
Kemenangan ini bukan sahaja menambah keyakinan beliau untuk meneruskan kerjaya sebagai atlet para, tetapi juga membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan dalam sukan.
Pujian harus diberikan kepada Kerajaan Sarawak yang sentiasa memantau kemajuan serta kebajikan atlet para negeri mereka dan memberi semangat kepada atlet-atlet veteran seperti Farissan untuk terus menyumbang kepada kejayaan negeri dan negara.