PERENANG para Malaysia, Ethan Khoo Yin Jun, terus mencipta sejarah apabila meraih pingat emas dalam acara 200 meter gaya bebas lelaki S14 di temasya Para Sukma 2024 di Sarawak.

Dengan catatan masa 2 minit 3.77 saat, Ethan bukan sahaja berjaya menjuarai acara tersebut, malah turut memecahkan rekod kejohanan dan memperkukuhkan lagi namanya sebagai salah satu bintang sukan para negara.

Kejayaan ini merupakan satu lagi pencapaian besar bagi atlet kelahiran Sabah itu yang semakin bersinar di peringkat nasional dan serantau. 

Sebagai pemegang rekod dalam acara 100 meter gaya bebas kategori S14 dan 200 meter rampaian individu SM14 di Sukan Para ASEAN 2022 di Solo, Indonesia, Ethan berjaya membawa semangat kemenangan itu ke bumi Sarawak dengan sekali lagi mempamerkan aksi cemerlangnya.

Kejayaan Ethan menandakan pencapaian luar biasa menjadikannya ikon sukan renang para negara.

Malah, prestasinya bukan sahaja membanggakan negeri Sabah, tetapi seluruh Malaysia yang melihatnya sebagai harapan besar untuk temasya sukan antarabangsa yang akan datang.