MENTERI Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah meluangkan masa menyaksikan beberapa acara yang dipertandingkan dalam acara Para Sukma Sarawak 2024.
Beliau menyeru agar para atlet yang bertanding akan terus kekal yakin serta mengekalkan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung.
“Semasa saya melawat ke beberapa lokasi acara sukan hari ini, saya melihat para atlet menunjukkan semangat yang amat tinggi.
“saya mahu melihat mereka tidak hanya cemerlang dari segi fizikal, tetapi juga dari segi emosi dan keyakinan diri kerana ini penting untuk mereka kekal bersemangat,” katanya yang dipetik daripada website rasmi TV Sarawak.
Fatimah turut menekankan bahawa Para Sukma adalah sebuah platform yang penting bagi para atlet untuk memperlihatkan kemampuan diri dan menyerlahkan bakat masing-masing.
“Anggaplah kejohanan ini sebagai peluang untuk mereka menunjukkan kemampuan sebenar dan membuktikan kehebatan diri,” katanya lagi.
Beliau juga berharap agar semua atlet memanfaatkan peluang yang diberikan dengan sebaik mungkin dan mengukir kejayaan dalam acara masing-masing.
Setakat jam 5 petang hari ini, Sarawak masih mendominasi carta dengan mengumpul 33 pingat emas dan diikuti oleh Sabah 22 pingat emas.
Acara Para SukmaSarawak 2024 ini dijangka akan berlangsung sehingga akhir minggu, dengan pelbagai disiplin sukan dipertandingkan di beberapa lokasi di sekitar Kuching, Sarawak.