MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa peranan Sukan Malaysia (Sukma) amat penting dalam melahirkan atlet luar biasa ke tahap yang lebih tinggi.

Hannah berkata, sudah tidak disangkal lagi bahawa Para Sukma terbukti berkesan dalam melahirkan atlet-atlet hebat.

“Daripada 30 atlet TeamMAS yang ke Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini, 19 atlet adalah yang lahir daripada Para Sukma yang lalu.

“Pencapaian Paralimpik yang membanggakan buat Malaysia dengan 2 pingat emas, 2 pingat perak dan 1 pingat gangsa. Sarawak sudah pastinya berbangga dengan Bonnie Bunyau Gustin – anak kelahiran Kampung Baru Mawang, Daerah Serian yang memenangi pingat emas Paralimpik Paris baru-baru ini. Ini merupakan pingat emas kedua buat beliau. Bakatnya dikenal pasti apabila memenangi pingat untuk Sarawak dalam tiga Para Sukma dari 2014 hingga 2018.

Bonnie antara atlet para yang berjaya, ‘lahir’ daripada Sukan Malaysia.

“Semua ini tidak akan dicapai tanpa kesungguhan yang tidak berbelah bahagi dengan ‘leadership’ yang ditonjolkan oleh Datuk R. Subramaniam, Setiausaha Agung MPM (Majlis PAralimpik Malaysia). Beliau tanpa pernah putus asa sering memperjuangkan keperluan atlet para di MSN (Majlis Sukan Negara) dengan pengurusan geran pentadbiran yang cemerlang serta kuat berusaha mempromosikan sukan para,” jelasnya dalam ucapan pada Perasmian Sukma Para yang sedang berlangsung di Sarawak.

Bagaimanapun Hannah menegaskan bahawa negara tidak boleh hanya dan terus bergantung kepada Bonnie, Liek Hou, Ziyad, Abdul Latif dan Eddy sahaja.

Hannah turut menyambut kepulangan wira-wira Sukan Paralimpik.

“Sebab itu saya berazam untuk beri banyak lagi peluang dan platform untuk OKU dalam sukan pada tahun 2025. Saya amat menghargai momen di mana saya meluangkan masa dengan atlet Paralimpik kita semasa di Paris. Saya melihat sendiri persiapan, latihan, cabaran dan keperluan mereka,” tambahnya.

Bagi memastikan lebih ramai atlet para dilihat selepas ini, Hannah menyeru kepada semua ibu bapa ibu dan bapa, jangan merasa malu atau segan dengan Kad OKU yang dipunyai anak-anak kita atau ahli keluarga .

“Saya galakkan kita dedahkan mereka dengan pelbagai jenis sukan. Manalah tahu ada jenis aktiviti dalam sukan boleh menarik minat dan boleh jadi hebat dalam sukan tersebut.

“MSN dan JBSN Negeri, saya minta kita tingkatkan usaha banyakkan program pencarian terutamanya atlet para wanita. Kepada 303 (24%) atlet para wanita dalam Para Sukma ini syabas saya ucapkan. Penyertaan lebih ramai wanita dalam sukan para akan memberikan inspirasi kepada yang lain bahawa mereka mampu,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Hannah mahu lihat lebih ramai atlet para wanita dalam pelbagai acara

Para Sukma  2024 kali ini menyaksikan 15 kontinjen bersaing dalam 10 jenis sukan membabitkan 328 acara.