ATLET tenis berkerusi roda negara, Abu Samah Borhan ingin menggunakan pengalamannya untuk mengecapi kejayaan di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Beliau yang juga berusia 39 tahun itu mempunyai purata kemenangan yang banyak di gelanggang tanah liat (clay court) dan ingin menggunakan kelebihan itu di Roland Garros kelak.

“Pengalaman saya bermain di permukaan tanah liat (clay court) sebenarnya satu kelebihan sebab kami pernah bermain dalam kejohanan tenis permukaan tanah liat di Eropah.

“Secara purata, permainan kami di permukaan tanah liat lebih banyak memihak kepada kami walaupun pergerakan yang agak terbatas tetapi kami dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

“Purata kemenangan saya di permukaan tanah liat lebih banyak menang berbanding permukaan keras (hard court) jadi untuk sesuaikan diri di Roland Garros insyaallah tidak menjadi satu masalah.

“Segala pengalaman saya sebelum ini saya akan terapkan semasa Temasya Sukan Paralimpik nanti,” katanya selepas ditemui media semalam.

Sukan Paralimpik Paris 2024 merupakan penampilan ketiga buat Abu Samah Borhan, beliau akan menyertai acara perseorangan lelaki dan beregu lelaki bersama seorang lagi atlet tenis berkerusi roda, Yusshazwan Yusoff.

Abu Samah Borhan telah menyertai Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020 sebelum ini dengan menyertai acara perseorangan lelaki Tenis berkerusi roda, dengan berjaya melangkah sejauh pusingan ke 32 pada edisi sebelum ini.