PEMAIN tenis berkerusi roda negara, Yusshazwan Yusoff berasa semangat menjelang Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Beliau yang juga akan melakukan penampilan pertama di Sukan Paralimpik itu mengharapkan akan berlakunya kejutan.

“Semangat saya membakar-bakar untuk penampilan pertama Paralimpik ini, jadi saya fokuskan kepada skill, mental dan juga gim.

Yusshazwan Yusoff akan melakukan penampilan pertama dalam Temasya Sukan Paralimpik 2024

“Persiapan mental dan psikologi diri setakat ini baik, ia penting supaya kita tidak takut kepada pemain lawan yang menduduki ranking 10 terbaik dunia.

“Saya juga mengharapkan kejutan tapi kita ikut apa yang coach sasarkan iaitu pusingan ke-16 dahulu lepas itu kita tengok apa keajaiban yang berlaku,” katanya semalam.

Beliau juga menyatakan bahawa bermain di gelanggang permukaan tanah liat (clay court) tidak menjadi satu masalah baginya kerana sudah berlatih selama sebulan di permukaan gelanggang sepertinya di Paris.

Yusshazwan Yusoff akan bermain dalam dua acara tenis berkerusi roda iaitu acara perseorangan lelaki dan beregu lelaki bersama seorang lagi wakil negara, Abu Samah Borhan.