PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shariman mahu mendengar lagu Negaraku dimainkan sekurang-kurangnya empat kali pada Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 dari 29 Ogos hingga 9 September.

Megat yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika majlis ‘send off’ atlet-atlet ke Paris bagaimanapun tidak mahu meletakkan beban kepada semua yang bertanding tetapi percaya mereka mampu untuk melakar kejutan buat Malaysia.

“Saya menjangkakan empat kali lagu Negaraku berkumandang di Paris dan kalau boleh mana-mana atlet yang baru bertanding boleh melakukan kejutan dengan catatan terbaik kerana kami memang fokus meskipun tidak digembar gemburkan banyak pihak.

Hannah (tengah) hadir memberi sokongan kepada atlet paralimpik negara di KLIA pagi Jumaat.

“Kita meletakkan sasaran pada sukan badminton, renang, angkat berat dan boccia tetapi tidak mustahil banyak lagi kejutan boleh berlaku tetapi kita tidak mahu beri tekanan berlebihan buat atlet.

“Berdasarkan strategi dan jangkaan, kita mahu membawa pulang seberapa banyak pingat yang boleh dan kami di MPM akan memberikan seberapa banyak sokongan yang boleh untuk mereka,” katanya.

Megat juga yakin isu kelewatan atlet atau masalah melibat pegawai tidak akan berulang kerana semua pihak sudah memahami tugaaan masing-masing dan semuanya sudah terlatih.

Megat D.Shahriman

“Daripada pengalaman yang lepas, kita sudah buat akujanji dan melatih para pegawai. Kita tidak mempunyai masalah di Sukan Para Dunia, Para Asean dan Para Asia sebelum ini dan semua berada dalam disiplin yang baik dan bersedia,” jelasnya.

Seramai 34 orang melibatkan 17 atlet dan 17 pegawai berlepas ke Paris untuk menghadapi Sukan Paralimpik yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta keluarga-keluarga atlet yang mendoakan kejayaan mereka.