MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) meletakkan sasaran seramai 29 atlet para yang bakal terlibat ke temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 yang akan berlangsung pada hujung Ogos hadapan.

Dalam detik 50 hari ke Sukan Paralimpik ini, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin menjelaskan bahawa setakat ini terdapat 25 atlet yang telah layak, sejurus menyasarkan lagi empat baki atlet daripada sukan powerlifting (3) dan berbasikal (1).

Apabila ditanya mengenai sasaran empat pingat emas yang diperkatakan sebelum ini, Megat Shahriman mendedahkan bahawa ianya terdiri daripada kategori sukan boccia, powerlifting, badminton dan olahraga.

“Empat pingat emas ini, saya rasa kita kena letak sasaran sebab ini bukan percutian. Sudah empat tahun kita berlatih dan saya rasa kita perlu menang. Ini sebab kita bawa logo negara dan kita perlu menang dan mereka perlu buktikan kemampuan diri mereka di temasya berprestij dunia ini.

Datuk Seri Megat ketika ditemui pada Selasa.

“Jika mereka tidak capai sasaran tersebut, mereka perlu buat balik dan perjuangan tidak terhenti di situ. Tahun depan juga kita akan ada kejohanan jadi akan bersambung di situ dan akar umbi kita juga akan meneruskan rentak ini,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran 50 Days Countdown Paralympic Paris 2024 pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mendedahkan bahawa pihak MPM bersetuju untuk memberi sesuatu kepada para atlet yang layak ke Paralimpik ini, sebagai tanda sokongan dan pencetus semangat mereka untuk mendapatkan pingat di sana.

“Sejumlah RM 500,000 akan diberikan kepada semua atlet yang layak ke Paris, kerusi daripada Zero Halfcare, dan barang lain. Ini satu pemangkin kepada mereka tidak termasuk ganjaran pingat emas, perak dan gangsa yang mereka mungkin akan bawa pulang nanti.

“Jadi bermakna, setiap seorang atlet akan meraih RM 25,000 sebagai tonik semangat mereka untuk beri yang terbaik di pentas Paralimpik Paris nanti,” tambah beliau.