JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang jelas teruja dengan basikal baharu yang bakal diterima sekali gus menjadikan ia sebagai basikal rasmi pada perlumbaan trek di Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, pelumba berusia 36 tahun itu menegaskan bahawa basikal berjenama Vorteq WX-R yang bernilai RM385,800 itu tidak menjamin kemenangan dalam perlumbaannya, namun mungkin dapat bantu merapatkan jurang antara negara lain.
Tambahnya, penggunaan basikal baharu dalam sesuatu perlumbaan besar adalah lebih memberi manfaat kepada negara supaya tidak kelihatan begitu ‘ketinggalan’ dan dapat menjadikan Malaysia setaraf dengan negara lain.
“Kebanyakan masyarakat di luar tidak faham mengenai ini. Basikal baharu semestinya tidak menjamin kemenangan, namun ia lebih kepada membuatkan kita setaraf dengan negara lain. Sebelum ini, kita berada satu langkah di belakang pesaing utama kita.
“Pelumba Great Britain dan Jerman mempunyai basikal khas di mana dari segi teknologi mereka berada di hadapan kita. Kami boleh berlatih dengan gigih dan persiapkan yang terbaik, tetapi dalam perlumbaan kita tetap berada di belakang.
“Jadi kita sekarang patut berbangga dengan apa yang Malaysia lakukan kerana tidak semua negara mampu lakukannya. Sekarang kita setaraf dengan Britain, Jerman dan juga Jepun dan ini memberi keyakinan kepada saya, Shah Firdaus dan Izzah Izzati setelah mempunyai peralatan (basikal) yang terbaik,” ujar pelumba kelahiran Terengganu ketika ditemui pemberita pada Khamis.
Azizulhasni turut mendedahkan bahawa beliau akan menerima basikal baharunya itu semasa menjalani kem latihan di Eropah pada minggu hadapan.
“Saya tidak tergesa-gesa untuk menggunakan basikal baharu, saya gembira guna basikal lama untuk latihan dan kebiasaannya saya akan guna basikal baharu, sebulan sebelum kejohanan. Jadi saya akan cuba beberapa kali nanti di Sepanyol dan Belgium (sebelum temasya Olimpik),” tambahnya.