PASUKAN Berbasikal Trek Negara diberi peluang untuk membiasakan diri dan meningkatkan keyakinan dengan versi naik taraf basikal WX-R Vorteq yang akan digunakan ketika Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Pasukan berbasikal trek yang terdiri daripada Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzat Md Asri diberi peluang untuk menggunakan basikal yang dibawa khas dari United Kingdom ketika mereka melakukan persiapan terakhir di Mallorca, Sepanyol.

Turut hadir, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin yang diberikan taklimat mengenai persiapan ketiga-tiga pelumba basikal trek negara itu.

“Selain berkongsi kata-kata semangat sebelum mereka berlepas ke Paris, saya diberi taklimat penuh mengenai status persiapan mereka di kem latihan.

Hamidin bertemu dengan pasukan berbasikal trek negara yang ‘berkampung’ di Mallorca

“Mereka sangat teruja dan penuh semangat menjelang sukan temasya itu. Peluang untuk berlatih menggunakan mesin WX-R Vorteq baharu telah memberikan mereka dorongan yang amat diperlukan,” kata  Hamidin

Azizulhasni yang bakal membuat penampilan kelima di pentas Olimpik berkata, beliau bersama Shah Firdaus dan Nurul Izzah berazam untuk berjaya di temasya sukan itu.

“Kami bertiga berada dalam keadaan terbaik menjelang temasya itu. Kami sememangnya bersyukur kerana kami dapat menggunakan basikal baharu di Mallorca.

“Bagi saya secara peribadi, setelah memenangi gangsa di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020, saya menyasarkan untuk mencapai kemuncak. Walaupun akan ada tentangan kuat daripada pelumba dari Belanda, Jepun, Australia dan Great Britain, saya percaya saya setanding. dengan mereka, terutamanya sekarang bahawa kami dilengkapi dengan versi jentera yang dinaik taraf.

“Saya mahu membuktikan sesuatu dan membalas kepercayaan yang diberikan selama ini dengan membawa pulang pingat emas Olimpik pertama untuk Malaysia,” katanya.

Nurul Izzah yang bakal melakukan penampilan pertama di sukan Olimpik mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya MOM, MSN dan ISN kerana mewujudkan persekitaran yang membolehkannya layak secara merit ke Paris, jauh lebih awal daripada jadual.

“Tanpa sokongan dan bantuan mereka, saya tidak akan berada di sini, hampir membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik. Selama ini saya memikirkan untuk layak ke Los Angeles 2028,” kata Nurul Izzah.

Shah Firdaus yang akan muncul buat kali kedua di Sukan Olimpik selepas edisi 2020 di Tokyo, Jepun mendoakan yang terbaik.

“Persediaan kami berjalan lancar. Kami berdoa agar semuanya berjalan lancar apabila Sukan Paris bermula,” ujarnya.

Azizulhasni dan Shah Firdaus dijadual menyertai kelayakan acara Pecut pada 7 Ogos dan Keirin Lelaki pada 10 Ogos manakala Nurul Izzah akan menyertai Keirin Wanita.