WAKIL beregu campuran negara ke Sukan Olimpik ke-33, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berpeluang cerah melepasi saingan peringkat kumpulan apabila undian kejohanan yang berlangsung di pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, menyaksikan mereka ditempatkan dalam kumpulan D bersama pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Pada sesi undian yang berlangsung di Kuala Lumpur itu, dua lagi pasangan Vinson Chiu-Jennie Gai dari Amerika Syarikat (AS) serta Hee Yong Kai Terry-Tan Wei Han Jessica dari Singapura turut berada dalam kumpulan D.

Undian Olimpik yang memihak Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, seharusnya meredakan tekanan beregu campuran negara itu yang kali pertama akan beraksi di pentas Sukan Olimpik.

Perkara ini diakui Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

“Untuk acara beregu campuran, Tang Jie-Ee Wei mempunyai peluang untuk melepasi peringkat kumpulan tetapi itu tidak bermakna perlu diambil ringan kerana ada pemain yang berpengalaman di Olimpik.

Apa nak buat… undian beregu wanita Olimpik menempatkan Pearly Tan-M Thinaah dalam kumpulan yang getir.

“Jadi saya rasa Tang Jie-Ee Wei harus lakukan persiapan betul-betul dari segi mental, fikiran dan perkara paling penting ialah jaga kesihatan,” kata Rexy mengenai peluang pemain negara yang akan beraksi kali pertama di pentas Sukan Olimpik di Paris.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berada dalam kumpulan maut dan memerlukan keyakinan yang kuat untuk melepasi saingan peringkat kumpulan.

Goh Jin Wei perlu melepasi peringkat kumpulan untuk membuka laluan mara lebih  jauh.

Mereka berada dalam kumpulan A bersama pilihan utama dari China yang juga pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan (China) serta juara Olimpik Tokyo dari Indonesia, Apriyani Rayahu- Siti Fadia Silva Ramadhanti, selain cabaran daripada pasangan berpengalaman dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.

“Undian beregu wanita nampak sukar tetapi ini adalah pentas Olimpik dan saya harap Pearly-Thina bermain tanpa gentar.

“Kalau mereka mahu menang, tak boleh harapkan saingan peringkat kumpulan yang senang, mereka harus bersedia dan jika melepasi kumpulan, pasti mereka memperoleh keyakinan tinggi ke pusingan berikutnya,” tambah Rexy.

Lee Zii Jia mendapat laluan mudah di peringkat kumpulan, namun dijangka berdepan laluan getir di pusingan kalah mati.

Bagi acara perseorangan wanita, wakil negara Goh Jin Wei diundi berada dalam kumpulan H bersama wakil Korea Selatan Kim Ga Eun yang menghuni ranking ke-17 dunia dan pemain Afrika Selatan Johnita Scholtz.

Perseorangan lelaki, Lee Zii Jia pula berada dalam kumpulan G bersama Pablo Abian dari Sepanyol dan pemain muda Sri Lanka, Viren Nettasinghe.

Bagaimanapun, undian bagi acara beregu lelaki tidak dilangsungkan selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memutuskan untuk menunda undian tersebut dan bakal diadakan pada satu tarikh yang bakal ditentukan susulan ada percanggahan dan perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).