BINTANG tenis Serbia, Novak Djokovic berjaya menewaskan juara bertahan, Holger Rune dan mara ke separuh akhir Paris Masters selepas terlibat dalam pertempuran sengit hampir tiga jam.

Pemain Denmark itu sebelum ini mengalahkan Djokovic dalam perlawanan akhir tahun lalu namun tidak mampu mengalahkannya tahun ini. Djokovic pada kali ini berjaya memenangi perlawanan suku akhir dengan skor 7-5, 6-7 (3), 6-4.

Djokovic yang menduduki tempat teratas dan juara enam kali di Paris Masters, berjaya mara ke tempat empat terakhir untuk kali kesembilan.

Rune menyelamatkan satu mata perlawanan apabila tertinggal skor 5-4 dalam set kedua dan bermain dengan cemerlang dalam pusingan penentu untuk menyamakan satu set setiap satu, namun Djokovic yang meningkatkan permainannya dalam pusingan penentu hanya kehilangan sebanyak tiga mata.

Pemain unggulan Serbia itu memperoleh pukulan awal dalam set ketiga bermain secara agresif untuk mengekalkan kedudukan Rune di belakangnya.

“Perlawanan kali ini hampir serupa dengan perlawanan akhir tahun lepas, ia adalah perlawanan sesiapa sahaja dalam setiap set. Saya bermain dengan teruk pada ‘tie break’ dalam set kedua, mungkin yang terburuk pada tahun ini. Tetapi sekali lagi kredit kepadanya (Rune) kerana kekal kuat dari segi mental dan bermain dengan mantap,” katanya.

Bagaimanapun, berlaku ketegangan antara Djokovic dan pengadil Renaud Lichtenstein pada penghujung set kedua menentang pemain tenis Denmark itu. Djokovic yang berjaya mengalahkan Rune dan mara ke pusingan separuh akhir Paris Masters di Bercy telah menjadi bualan penonton.

Keputusan ini membawa kepada kemenangan Djokovic yang ke-16 dalam perlawanan. Dia bakal berhadapan dengan Andrey Rublev yang berada di tempat kelima dalam perlawanan akhir.

Terdahulu, Grigor Dimitrov menempah kedudukan pada perlawanan separuh akhir dengan kemenangan 6-1, 4-6, 6-4 ke atas Hubert Hurkacz sekali gus menamatkan harapan pesaingnya untuk mara ke Final ATP.