KETUA Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo menyalahkan dirinya sendiri apabila skuad kendaliannya tewas pada final Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 kepada Thailand pada Isnin.
Hang-seo juga berharap para penyokong Vietnam akan kekal bersama pasukan meskipun selepas dia melepaskan jawatan dan meminta maaf kerana gagal memberikan kejuaraan kepada Vietnam pada perlawanan terakhir kendaliannya.
Dia juga tidak mendedahkan perancangan masa hadapannya namun dia pasti jika dia kembali ianya masih perkara yang melibatkan dunia bola sepak.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Thailand dan Mano Polking. Sememangnya saya mahu menang kejuraan ini sebagai hadiah kepada para penyokong tetapi saya gagal melakukannya. Saya minta maaf.
“Keputusan hari ini tidak seperti yang kami jangkakan kerana saya tidak cukup bagus. Pemain sudah melakukan apa yang perlu mereka lakukan sebagai pelawat. Saya berharap agar para penyokong terus memberikan sokongan dan tidak mengkritik mereka,” katanya selepas perlawanan.
Selepas terikat 2-2 di Hanoi pada perlawanan akhir pertama, Vietnam memerlukan kemenangan ataupun keputusan seri 3-3 untuk muncul juara sekali lagi selepas 2018.
Walaupun Park melakukan beberapa perubahan pada babak kedua, namun Vietnam tetap bergelut untuk menjaringkan gol terutama selepas Thailand berjaya menjaringkan gol menerusi Theerathon Bunmathan pada minit ke-25.
Ini adalah kekalahan kedua Park Hang-seo kepada Thailand dalam Piala AFF selepas mereka disingkirkan 0-2 ketika peringkat separuh akhir edisi 2020 yang berlangsung di Singapura tahun lalu.
Apabila ditanya mengenai masa depannya, Park berkata dia masih belum memikirkan tentangnya lagi dan akan berbincang bersama ejen dan keluarga terlebih dahulu.
“Langkah saya seterusnya hanya boleh ditentukan selepas 31 Januari apabila kontrak saya bersama VFF tamat. Buat masa ini, saya akan berbincang tentang masa depan saya bersama ejen dan keluarga tetapi apa yang pasti ianya masih melibatkan bola sepak,” katanya.
Sepanjang lima tahun mengendalikan Vietnam, Park Hang-seo berjaya membawa Vietnam memenangi Piala AFF pada 2018, pingat emas Sukan Sea 2019 dan 2021 dan kejuaraan Piala Asia B-23 Tahun dan tempat keempat Piala Asia 2018.