Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC) mengumumkan Park Jaehong sebagai ketua jurulatih baharu bagi menghadapi saingan Liga Super 2024/2025.

Pelantikan pengendali berusia 45 tahun itu diumumkan oleh pengurusan pasukan di platform media sosial rasmi mereka semalam.

Park Jae-hong diperkenalkan kepada penyokong semalam. (Sumber Gambar: FB KDN FC)

“Mengumumkan ketua jurulatih Kelantan Darul Naim FC, Park Jae-hong. Beliau merupakan bekas ketua jurulatih kelab K3, Yangju Citizen.

“Park Jae-hong ketika karier sebagai pemain merupakan bekas anggota skuad kebangsaan Korea Selatan yang menyertai kejohanan Sukan Olimpik Sydney 2000, Piala Asia 2004 dan beliau juga telah bersama skuad Korea Selatan sejak usia 16 tahun.

“Beliau beraksi dengan banyak kelab besar di Korea Selatan seperti Jeonbok Hyundai dan Jeongnam Dragons. Beliau menamatkan karier pemain dengan kelab Thailand, Police United FC pada tahun 2013,” kata kelab yang berpangkalan di pantai timur itu.

Majlis memperkenalkan jersi pasukan untuk musim 2024/25. (Sumber Gambar: FB KDN FC)

 

Beliau turut diperkenalkan kepada penyokong dalam Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Kelantan Darul Naim FC di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat.

Park akan dibantu oleh Rezal Zambery Yahya dan Ashadi Yusof sebagai penolong jurulatih manakala Abdul Rahman Baba pula menggalas peranan sebagai jurulatih penjaga gol pasukan.

Tugas beliau sebagai jurulatih akan dilihat oleh penyokong buat kali pertama apabila akan mengemudi pasukan menentang Sri Pahang FC untuk aksi pramusim 2024/25 di Stadium Sultan Muhammad IV pada 24 April.