KETUA jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN) Park Jae-hong mengakui aksi kedua Liga Super bertemu Sabah FC akan menjadi perlawanan yang sangat penting selepas tewas pada aksi pembukaan di tangan Sri Pahang FC Sabtu lalu.
Pengendali asal Republik Korea itu mahu para pemainnya bangkit di hadapan penyokong sendiri dalam perlawanan yang dijangka dipenuhi penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat.
“Sudah tentu perlawanan ini penting buat kami setelah kalah kepada Sri Pahang. Saya mengharapkan kebangkitan barisan pemain untuk kita memungut mata pertama pada saingan liga musim ini.
“Kami telah mempunyai perancangan dengan memberi fokus pada sesi latihan terutama merencana jentera serangan agar lebih tajam seterusnya mampu menghasilkan jaringan pada pertemuan ini,” katanya.
Bagaimanapun, Jae-hong dalam masa yang sama menyatakan dirinya tetap berjaga-jaga dengan kekuatan pasukan pelawat kerana mereka dibarisi beberapa pemain kebangsaan dengan kualiti keseluruhan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi.
Justeru itu, Jae-hong dan barisan kejurulatihannya mahu menyediakan barisan pemain terbaik untuk cuba memenangi perlawanan di laman sendiri itu nanti meskipun sedar akan ancaman yang bakal dihadapi.
Pada perlawanan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh itu, KDN dikecewakan gol sepakan percuma Manuel Hidalgo namun mereka menunjukkan kesungguhan dan berjaya menarik perhatian para penyokong bola sepak tempatan.
Skuad Kijang Emas dijangka akan mendapat sokongan padu daripada para penyokong Kelantan apabila pihak pengurusan mengumumkan tawaran diskaun harga tiket sebagai tanda penghargaan kepada para penyokong yang hadir di Temerloh tempoh hari.