KETUA jurulatih Kelantan Darul Naim FC, Park Jaehong menyatakan dia dan barisan kejurulatihannya menyedari kekuatan yang ada pada pasukan Terengganu FC namun dia tetap optimis pasukannya dapat membawa pulang tiga mata dari Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.
Menurutnya dalam dua perlawanan sebelum ini, mereka mungkin tidak bersedia dengan baik dan mempelajari kekuatan atau kelemahan pasukan lawan tetapi untuk pertemuan ini, dia yakin barisan pemain akan memberi saingan kepada Terengganu FC.
“Kami sudah melihat corak permainan Terengganu, kami dah lawan mereka. Ya, mereka sebuah pasukan yang sangat bagus dan kami akan cuba memberikan yang terbaik dari segi teknikal dan juga taktikal serta perlu menunjukkan kematangan bila bermain.
“Sekarang bergantung kepada komunikasi dan kena kurangkan kesilapan serta guna segala kelebihan dalam situasi bola mati selain kena bermain laju dan terbuka apabila menyerang supaya jaringan dapat dicari,” jelasnya.
Perkara ini juga senada dengan pemain pertahanan, Kim Li-kwan yang yakin dia dan rakan-rakan sepasukannya mampu untuk memperolehi kemenangan dalam Derbi Pantai Timur yang menarik ini.
“Saya sentiasa percaya bahawa pasukan kami boleh melakukannya. Saya kecewa dengan keputusan perlawanan setakat ini, tetapi dari sudut positifnya kami semakin baik dan kami boleh menghasilkan keputusan yang baik pada perlawanan menentang Terengganu FC,” katanya.
Kelantan Darul Naim FC kini memerlukan kemenangan selepas tewas tipis dalam dua perlawanan pertama kepada Sri Pahang FC dan Sabah FC turut mengharapkan sokongan daripada para penyokong untuk kukuh berada di belakang pasukan walaupun beraksi di tempat lawan.