JIKA kita menyebut tentang skuad bola sepak kebangsaan, nama Kim Pan-gon sering menjadi sebutan kerana kerja yang bagus sudah dilakukan pengendali asal Republik Korea itu yang berjaya mengubah imej Harimau Malaya.

Sejak menjawat jawatan ketua jurulatih pada Januari 2022, Pan-gon telah melakukan perubahan drastik terhadap corak permainan Malaysia dan berjaya layak secara merit ke Piala Asia 2023 sekaligus menamatkan kemarau 43 tahun negara.

Namun begitu, selain kredit kepada Pan-gon untuk keputusan yang menggalakkan, dia juga perlu dipuji kerana membawa bersama jurulatih kecergasan, Park Ji-hyeon yang menyertai skuad pada November 2022.

Jurulatih Kecergasan Harimau Malaya, Park Ji-hyeon

FLASH SUKAN yang membuat liputan setiap sesi latihan di Wisma FAM Kelana Jaya dan di Muscat, Oman dapat melihat sendiri kelibat Ji-hyeon yang nyata bersemangat dalam memastikan setiap pemain Harimau Malaya mendapat tahap kecergasan yang dimahukan.

Menjelang dua aksi bertemu Oman di Muscat dan Bukit Jalil, Ji-hyeon berdepan tugas yang agak sukar kerana para pemain hadir dalam keadaan ‘off season’ sekaligus kurang cergas kerana tidak mempunyai minit permainan yang tinggi.

Ji-hyeon yang kelihatan ala-ala oppa idaman dari Korea sememangnya seorang yang mempunyai semangat dalam kecergasan fizikal. Dia bukan sahaja merencana pelan kecergasan pemain tetapi dia juga turut sama berlatih dan menjaga kecergasan dirinya.

Ji-hyeon memberikan arahan kepada para pemain

Dia sentiasa tiba awal di padang latihan dan akan bersenam terlebih dahulu selepas selesai menyiapkan keperluan latihan buat pemain. Dia juga akan menyertai sesi pemanasan dan regangan bersama-sama pemain sambil memberikan arahan.

Apa yang mencuri perhatian adalah dia sudah mesra dengan setiap pemain dan boleh memanggil pemain dengan nama timangan masing-masing dan langsung tidak berbunyi Korea sebaliknya lebih kedengaran seperti warga tempatan.

Arahan yang diberikan juga jelas dan dapat difahami pemain kerana dia fasih berbahasa Inggeris selain menjadi perantara bahasa Korea kepada jurulatih yang lain untuk memastikan setiap latihan akan mendapat matlamat yang dimahukan.

Temubual bersama para pemain juga mengakui pola latihan yang diterapkan barisan kejurulatihan sangat berintensiti tinggi namun mereka selesa melakukan semua itu kerana sikap professional mereka sebagai pemain dan mereka tahu tugas mereka kepada negara.

Para pemain mudah memahami arahan yang diberikan Ji-hyeon

Ditemani muzik rancak ketika latihan, Ji-hyeon lantang mengeluarkan arahan dan ianya diikuti dengan baik oleh para pemain yang jelas mahu mencapai tahap kecergasan optimum untuk membawa nama Harimau Malaya pergi lebih jauh.

Selesai tugasan di padang, Ji-hyeon akan mengkaji data-data analisis yang diperolehi dari setiap pemain menerusi alatan pengukur prestasi yang dipakai dan dikongsikan bersama ketua jurulatih yang turut dibantu penganalisis pasukan.

Kejayaan sesebuah pasukan bukan hanya bergantung kepada taktikal jurulatih tetapi apa yang berlaku di belakang tabir juga sangat penting bagi memastikan keputusan yang optimum dapat dicapai sebagai satu pasukan di setiap unit.