KEDAH Darul Aman FC menambah dua pemain baharu bagi memantapkan lagi barisan tengah pada hari terakhir jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2023 menjelang aksi pembukaan Piala Malaysia.
Skuad kendalian Nafuzi Zain itu telah membawa masuk pemain sayap lincah, J. Partiban secara pinjaman dari Kuala Lumpur City FC dan Halim Saari yang bersifat ejen bebas sebelum ini.
Kedah yang kini dalam prestasi terbaik menduduki tempat ketiga Liga Super dengan 37 mata hanya dipisahkan tiga mata dari pasukan tempat kedua, Selangor FC yang mempunyai kelebihan satu perlawanan.
Partiban yang ditemubual wakil kelab nyata sudah tidak sabar untuk beraksi dan mahu para penyokong setia Sang Kenari memberikan sokongan kepadanya dan dia mahu memberikan aksi terbaik sepanjang berada di Darul Aman.
“Saya teruja dan tidak sabar untuk bermain dengan pasukan Kedah. Jurulatih percaya dengan diri saya dan saya akan lakukan yang terbaik dan beri apa yang saya ada untuk menambah kekuatan pasukan.
“Saya mengenali beberapa pemain seperti Rodney Calvin dan Fayadh Zulkifli serta saya juga tidak sabar untuk bekerjasama dengan pemain-pemain sedia ada. Buat para penyokong, teruskan sokongan kepada pasukan dan juga diri saya supaya saya boleh lakukan yang terbaik buat pasukan,” jelasnya.
Sementara itu, Halim Saari yang sebelum ini menyertai Selangor FC kembali ke Darul Aman untuk menabur bakti bersama Kedah selepas mengalami kecederaan panjang sebelum ini.
Halim bekas produk Akademi Hijau Kuning bakal menggalas tugas di bahagian tengah bagi membantu Kedah menghadapi baki saingan Liga Super serta Piala Malaysia yang bakal membuka tirai pada Khamis.
Kehadiran dua pemain tengah tempatan ini sudah pasti menambahkan lagi pilihan buat Nafuzi bagi mencabar kedudukan kedua liga untuk merebut tiket ke kejohanan Piala AFC untuk musim 2024/2025.