PASANGAN ‘bidan terjun’ Hanis Nazirul Jayasurya-Wendy Ng berjaya meraih pingat emas pada hari terakhir Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, biarpun menjalani latihan acara 3 meter (m) papan anjal seirama campuran, dalam tempoh kurang seminggu.

Mereka mengumpul mata keseluruhan 262.8, mengalahkan pasangan Sarawak, Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin-Soh Tze Kang (213.06 mata) dan gangsa milik pasangan dari Kuala Lumpur, Choo Jin Wei-Ameera Irdina Mazwan (183.6 mata).

Menurut Wendy, secara keseluruhan dia dan Hanis Nazirul berjaya memberikan persembahan terbaik walaupun pada saat akhir mempersiapkan diri untuk mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

Ng Yan Yee cipta keajaiban dalam acara 3m papan anjal seirama campuran bersama Hanis Nazirul Jayasurya.

“Keputusan ini, walaupun tak banyak penyertaan, bagi kami ia sangat baik. Perjalanan kami masih lagi jauh. Ini kali pertama kami berdua bergandingan untuk menyertai kejohanan. Kami hanya berlatih dalam dua hingga ke tiga hari,” kata atlet berusia 30 tahun itu.

Sementara itu, Hanis Nazirul berkata, dia berharap dapat bergandingan lagi dengan Wendy untuk kejohanan akan datang.

“Sebenarnya bukan mudah dan agak mengejutkan apabila kami diberitahu akan bergandingan bersama kerana saiz kami berbeza. Saya lebih kepada platform dan Wendy pula papan anjal.

“Bagaimanapun, kami berjaya melaksanakan tugas untuk meraih emas bersama. Ia mungkin sukar jika di kejohanan besar tapi saya rasa kami boleh terus untuk berpasangan pada masa akan datang,” katanya.

Hanis Nazirul Jayasurya yang sinonim dalam acara10m platfrom tidak menyangka latihan tiga hari bersama Ng Yan Yee mampu hadiahkan emas.

Sementara itu, hasrat untuk melihat satu lagi kilauan emas diraih penerjun negara tidak kesampaian apabila Jellson Jabilin hanya meraih perak dalam acara 10m platform lelaki selepas mengumpul 406.00 mata.

Seorang lagi penerjun negara yang sudah pun mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024, Bertrand Rhodict Lises meraih gangsa apabila memungut 366.35 mata dan emas menjadi milik wakil Uzbekistan, Igor Myalin (428.55).

Bagi saingan 3m papan anjal seirama wanita, menyaksikan pasangan Kuala Lumpur, Ameera Irdina-Angeline Lee meraih gangsa selepas mengumpul 174.21 mata.

Emas berjaya diraih wakil Singapura, Clara Liaw-Alycia Charlotte Lim yang berjaya meraih 218.46 mata, selepas berjaya mentepikan gandingan Hong Kong, Chan Tsz Ming-Leung Ka Sin (205.35).