KEJADIAN malang yang melibatkan dua pemain bola sepak tempatan, Akhyar Rashid dan Faisal Halim, telah menimbulkan kebimbangan dalam komuniti dan peminat bola sepak tempatan.
Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John, berharap agar kes ini disiasat hingga ke akar umbinya untuk membawa penjenayah tersebut ke muka pengadilan.
“Perkara seperti ini tidak boleh berlaku kepada sesiapa pun. Apatah lagi atlet negara, pemain bola sepak, anda tahu mereka adalah ikon dan segala-galanya.
“Jadi ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan kita dan seluruh Asia. AFC mendoakan kesembuhan Akhyar dan semestinya juga Faisal,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Selasa.
Menurut Windsor lagi, situasi yang menimpa pemain kebangsaan itu dapat berlaku kepada siapa saja, dan penting bagi mereka untuk berhati-hati dan memperhatikan tanda-tanda awal risiko.
Sebelum ini, Akhyar mengalami kerugian lebih RM4,800 setelah disamun dua lelaki bersenjata dalam kejadian di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu pada malam Khamis.
Manakala, Faisal dikenali Mickey mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badannya selepas diserang seorang individu tidak dikenali dengan menggunakan bahan dipercayai asid di Kota Damansara, Petaling Jaya.
“Apa-apa boleh berlaku. Jadi kena ambil langkah berjaga-jaga dan berhati-hati. Sudah tentu, AFC dan di mana-mana bahagian dunia pun, terutamanya Asia amat terkesan dan terganggu dengan apa yang telah berlaku kepada Akhyar serta Faisal.
“Bagi AFC, ianya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya.
Insiden seperti ini memperlihatkan betapa pentingnya penyediaan sokongan mental dan emosi yang mencukupi bagi atlet, terutama dalam suasana persaingan yang semakin sengit.
Ketika mempertimbangkan prestasi dan kemenangan, penting juga untuk tidak melupakan kesejahteraan atlet sebagai manusia.
Kita perlu memastikan bahawa langkah-langkah dilaksanakan untuk melindungi dan menyokong mereka, bukan hanya sebagai atlet, tetapi juga sebagai individu yang memerlukan perhatian dan sokongan.