“KITA perlu pastikan rumah kita dikunci terlebih dahulu sebelum keluar mencari rezeki,” itulah perumpamaan yang diberikan bekas penolong jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin mengenai keadaan skuad kebangsaan jika mahu terus mengaum di pusingan kelayakan Piala Dunia.
Sulaiman yang turut berbangga dengan kejayaan Harimau Malaya melakukan kebangkitan dramatik ketika menewaskan Republik Krygyz 4-3 selepas ketinggalan 1-3 pada Khamis bagaimanapun berkata perkara ini tidak akan selalu terjadi dan barisan kejurulatihan perlu memperkemaskan benteng untuk memastikan gol tidak mudah dibolosi.
“Tahniah kepada pasukan kebangsaan atas kemenangan tetapi ada perkara yang perlu ditekankan iaitu kita perlu memperkemaskan lagi barisan pertahanan.
“Perkara ini perlu diambil serius kerana meskipun menang, barisan pertahanan kita masih mudah dibolosi namun saya pasti Kim Pan-gon mempunyai ramuannya tersendiri untuk perlawanan menentang Chinese Taipei nanti,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Malaysia mendahului seawal minit ketujuh namun kealpaan barisan pertahanan menyebabkan Republik Krygyz berjaya mendapatkan dua gol dalam tempoh lima minit sebelum berakhir babak pertama.
Harimau Malaya sekali lagi ditekan apabila kesilapan yang sama diambil kesempatan oleh lawan untuk menjaringkan gol ketiga sebelum perubahan taktikal menyaksikan Malaysia berjaya bangkit dan menang.
“Kita perlu pastikan benteng pertahanan kita kukuh ketika menentang Chinese Taipei untuk membawa pulang tiga mata dan kemenangan kedua dalam kempen kelayakan Piala Dunia ini.
“Skuad kita kini mungkin tidak mempunyai masalah dibarisan serangan tetapi Pan-gon perlu memastikan benteng lebih kemas jika tidak mahu berputih mata gagal mendapat tiga mata penuh keatas Chinese Taipei,” jelasnya.
Malaysia akan terbang ke Taipei untuk aksi kedua Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 untuk mencari kemenangan kedua berturut-turut bagi mencerahkan peluang layak buat kali pertama ke pusingan ketiga dan layak ke peringkat kumpulan Piala Asia 2027 secara merit buat kali kedua.