PASUKAN bola jaring kebangsaan kini berada di Singapura dalam rangka tiga perlawanan ujian menentang jaguh serantau, Singapura sebagai sebahagian daripada persiapan untuk menghadapi Kejohanan Bola Jaring Asia 2024.
Pasukan Malaysia akan mengharungi tiga perlawanan pada 15, 17 dan 18 Februari dengan kedua-dua negara membariskan pasukan terbaik untuk menguji kekuatan dan memperbaiki kelemahan yang ada.
Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) YB Alwiyah Talib menjelaskan Malaysia membariskan beberapa muka baharu yang berjaya dicungkil menerusi pelbagai kejohanan dalam negara selain turut membawa beberapa pemain senior sebagai mentor kepada pemain baharu.
“PBJM menerima jemputan Singapura untuk mengadakan tiga perlawanan ujian bersama mereka dan ini adalah lawan yang cukup sesuai sebagai persiapan kita menjadikan Kejohanan Bola Jaring Asia di Arab Saudi.
“Tujuan siri perlawanan ujian ini diadakan adalah untuk memberikan keserasian antara pemain bagi memastikan kami dapat membentuk satu pasukan yang cukup mantap untuk mengharungi kejohanan itu, katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Sebagai rekod Malaysia adalah juara Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia selepas menewaskan Singapura 49-45 dalam aksi final di Jeonju, Republik Korea pada Jun 2023 dengan tempat ketiga menjadi milik Sri Lanka.
Kejayaan bergelar juara juga memastikan Malaysia layak ke Piala Dunia Bola Jaring Remaja 2025 yang akan berlangsung di Gibraltar pada 2025 dan persiapan awal sudah dimulakan PBJM bagi memastikan pasukan sentiasa bersedia untuk memberikan saingan.