SERAMAI 35 pemain hoki wanita bawah 20 tahun dipanggil menyertai Kem Latihan Skuad Hoki Remaja Wanita Kebangsaan, sebagai persiapan awal menghadapi saingan Piala Remaja Asia (Wanita) yang dijadual berlangsung pertengahan tahun hadapan.

Meskipun belum ada pelantikan ketua jurulatih bagi skuad remaja Wanita dibuat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), namun persiapan awal perlu dilakukan jika penyertaan pasukan ke kejohanan itu serius dan bukan sekadar mengambil bahagian.

Pengendali sementara Skuad Hoki Remaja Wanita, Lailin Abu Hassan berkata, fasa pertama ‘call up’ itu penting kerana KHM mahu mengelak kelewatan persiapan pasukan.

“Buat masa ini, 35 pemain wanita yang dipanggil semua berusia 20 tahun ke bawah yang dipilih daripada pemain yang beraksi di liga remaja, Sukan Malaysia (Sukma) dan Piala Tun Razak lalu.

“Dalam skuad ini, hanya lima pemain memiliki caps antarabangsa, jadi sememangnya skuad yang bakal kita ada nanti kekurangan pengalaman, sebab itu kami mahu sediakan pasukan lebih awal, sekurang-kurangnya enam bulan sebelum kejohanan,” kata Lalilin, ketika dihubungi.

Lailin mahu pasukan remaja wanita layak ke Piala Dunia Remaja 2023 di Chile.

Piala Remaja Asia dijangka berlangsung pertengahan tahun hadapan namun belum ada tarikh sebenar dan tuan rumah ditetapkan Persekutuan Hoki Asia (AHF).

Menurut Lailin, beliau mahu pasukan remaja Wanita menjadi saingan besar kepada pasukan gergasi Asia seperti India, Jepun, China dan Korea Selatan.

“Kita mahu menempatkan diri sebagai tiga terbaik di Piala Remaja Asia tahun hadapan kerana Persekutuan Hoki Dunia (FIH) hanya memberikan tiga slot kepada pasukan Asia untuk layak ke Piala Dunia.

“Pada edisi terakhir Piala Remaja Asia (2015), pasukan kita menamatkan saingan di kedudukan kelima,” kata Lailin.

Piala Dunia Remaja (Wanita) akan berlangsung di Santiago, Chile, pada  akhir tahun 2023.

Asia diberikan hanya tiga slot, Afrika (2), Pan Amerika (3), Oceania (2) manakala Eropah (5).

Seramai 35 pemain remaja wanita dipanggil akan disenarai pendek kepada 25 yang akan diumumkan kelak.

Justeru, Lailin yang kini bersama beberapa lagi jurulatih termasuk Nasihin Nubli melakukan persediaan awal bagi menilai kemahiran individu serta pengetahuan 35 pemain dalam sukan hoki.

Kem Latihan Remaja Wanita Kebangsaan (Fasa 1) berlangsung seminggu di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor akan berakkhir esok.

Mereka juga berharap KHM dapat mengumumkan segera ketua jurulatih bagi skuad remaja Wanita.