LIAONING Women’s Hockey Team merangkul Piala Vivian May Soars 2024 selepas menewaskan Malaysian University 3-0 menerusi penentuan shoot-out selepas terikat 1-1 pada aksi masa sebenar.

Perlawanan sengit itu bermula dengan kedua-dua pasukan saling menguji benteng pertahanan masing-masing namun aksi cemerlang ditampilkan penjaga gawang sehingga terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama.

Sekembalinya daripada rehat, kedua-dua pasukan terus merencana serangan sehingga minit ke-45 apabila pasukan jemputan dari China itu membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Wang Lihang.

Pasukan Malaysian Univeristy tidak menunggu lama untuk mencari gol penyamaan apabila Nor Asfarina Isahyifica berjaya menyempurnakan penalty stroke 10 minit kemudian untuk mengikat kedudukan dan mengheret perlawanan ke penentuan shoot-out.

Nasib lebih menyelebahi Liaoning apabila memenangi penentuan shoot-out dengan keputusan 3-0 selepas ketiga-tiga pemain Malaysian University tidak berjaya menumpaskan Zhao Ying di gawang gol.

Pemain-pemain Malaysian University kelihatan kecewa selepas gagal meraih gelaran treble musim ini. (Sumber Gambar: MHC)

Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut buat Malaysian University di perlawanan akhir Piala Vivian May Soars selepas tewas menerusi penentuan shoot-out kepada Negeri Sembilan pada edisi 2023.

Lebih mengecewakan apabila mereka gagal untuk mendapatkan gelaran ‘treble’ musim ini selepas berjaya menjulang Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Wanita Malaysia (MHL Women).

Dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, PDRM Blue Warriors berjaya menumpaskan pasukan Negeri Sembilan dengan keputusan 2-0.