PASUKAN India mencipta sejarah merangkul gelaran sulung Piala Thomas setelah mengejutkan juara 14- kali, Indonesia dengan kemenangan mutlak 3-0 dalam aksi yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok, pada Ahad.
Perseorangan pertama India, Lakshya Sen memerah keringat dalam pertarungan tiga set sebelum menundukkan pemain Indonesia, Anthony Ginting 8-21, 21-17, 21-16.
Kemenangan Lakshya Sen jelas menyuntik semangat rakan sepasukan apabila pasangan beregu, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy unggul dengan kemenangan rubber set 18-21, 23-21, 21-19 berdepan beregu Indonesia, Mohamad Ahsan-Kevin Sanjaya Sukamuljo.
Srikanth Kidambi melengkapkan kemenangan mutlak India dengan kemenangan straight set 21-15, 23-21 sekaligus mencipta sejarah merangkul gelaran Piala Thomas buat kali pertama seelpas 73 tahun.
Kemenangan 3-0 bertemu juara bertahan Indonesia jelas menyaksikan kebangkitan pasukan Piala Thomas India dalam arena badminton serta merupakan laungan amaran kepada pasukan lain bahawa mereka bakal menjadi kuasa besar sukan badminton dunia.