PERSEORANGAN  veteran India, Kashyap Parupalli mengakui pasukan badminton India semakin mengorak satu langkah ke hadapan dengan prestasi yang membanggakan.

Tambahnya, kem India mempunyai pasukan yang seimbang dari kombinasi pemain muda dan berpengalaman serta kejayaan merangkul Piala Thomas sulung merupakan detik paling bersejarah dalam dunia badminton.

Mana tidaknya, pasukan yang tidak pernah disasarkan sebarang kejayaan mampu mengejutkan negara-negara besar dan seterusnya mengejutkan gergasi besar badminton dunia apabila berjaya membawa pulang Piala Thomas 2022 ke bumi India.

“Pasukan India telah menjadi semakin baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan Piala Thomas adalah satu kejutan yang sangat hebat.

“Saya rasa kita ada pasukan yang seimbang, secara tidak langsung kita telah menyuntik semangat para pemain dalam pasukan,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.

Dalam pada itu, dia turut menggambarkan suasana beraksi di Axiata Arena dengan sorakan penyokong merupakan antara pengalaman yang sangat mengujakan untuknya dan isterinya yang juga merupakan pemain perseorangan badminton India, Saina Nehwal.

“Suasana sungguh meriah, stadium besar, kondisi, ia juga tempat yang sangat hidup, kita sangat teruja datang ke Kuala Lumpur,” tambahnya.

Kashyap gagal menyertai Terbuka Indonesia dan Terbuka Thailand sebelum ini kerana mengalami kecederaan hamstring namun kondisinya tidak begitu serius.