NEGERI Sembilan FC memulakan perlawanan persabahatan pra-musim dengan langkah kiri apabila ditewaskan 1-0 kepada pasukan Putrajaya FC.

Perlawanan yang berlangsung secara tertutup di Stadium UPM itu merupakan perlawanan persabatan kedua buat pasukan The Jangs musim ini selepas memulakan latihan pra-musim pada 17 Mac lalu.

Menurut penolong ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Nanthakumar mengakui pemainnya belum berada di tahap yang optimum dan masih lagi mencari rentak permainan selepas berehat lama.

Dia percaya para pemain mampu menunjukkan peningkatan dalam beberapa perlawanan persahabatan akan datang selepas ini.

“Memang kita merancang untuk mengadakan lebih banyak aksi pemanas badan sebagai persiapan memantapkan pasukan sebelum saingan liga musim ini bermula.

Antara pemain Negeri Sembilan FC yang terlibat dalam perlawanan persahabatan semalam. (Sumber Gambar: FB NSFC)

“Kita kena meningkatkan banyak aspek terutama pada bahagian serangan namun setakat ini banyak kemajuan sudah dicapai,” katanya selepas perlawanan semalam.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, anak buahnya juga masih dalam proses membentuk keserasian antara satu sama lain.

Menurutnya, walaupun terdapat sebahagian pemain musim lalu dikekalkan, namun suasana tidak sama kerana ramai juga pemain baharu yang dibawa masuk terutama import.

“Namun saya yakin graf prestasi pasukan akan terus meninggi selepas ini termasuk pada aksi persahabatan seterusnya menentang Terengganu FC, di Seremban, pada 4 April nanti,” ujarnya lagi.