SATU-SATUNYA pasukan rali profesional yang berpangkalan di Kuala Terengganu; East Coast Rallying mengesahkan tempat untuk berentap dalam kejuaraan Rally Sprint X-One yang akan berlangsung selama dua hari bermula pada 9 Disember sehingga 10 Disember 2023 bertempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang(MAEPS), Serdang, Selangor Darul Ehsan.

Perlumbaan selama dua hari ini mempertaruhkan lapan kategori perlumbaan yang dipertandingkan meliputi empat kategori utama dan selebihnya kategori perlumbaan bagi pasukan amatur termasuk kategori wanita dan kategori jentera klasik yang bakal menjadi tumpuan peminat sukan permotoran tanah air.

Menambah prestij penganjuran, pusingan pertama perlumbaan rali ini diadakan pada waktu malam sekaligus memberi cabaran tersendiri buat setiap pelumba.

East Coast Rallying yang ditubuhkan sejak 2017 mula mewarnai siri jelajah perlumbaan sukan pemotoran rali tanah air yang dipacu oleh anak jati Kuala Terengganu Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razali bersama bersama pemandu kedua pasukan Amir Izham dari Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.

Ir. Ts. Muhammad Syakirin (kiri) dan Amir Izham dari pasukan East Coast Rallying merupakan pasukan tunggal dari pantai timur yang berpangkalan dari Kuala Terengganu untuk berentap bagi kategori P10 perlumbaan Rally Sprint X-One yang berlangsung selama dua hari bermula pada 9 Disember sehingga 10 Disember 2023 di MAEPS, Serdang.

“Ianya satu penghormatan besar buat kami selaku pasukan kerdil dari pantai timur untuk diterima berentap di pentas kejuaraan Rally Sprint X-One pada edisi penganjuran kali kedua ini di mana terdahulu kami terlepas peluang untuk menyertai edisi pertama perlumbaan ini pada tahun lalu disebabkan beberapa masalah teknikal pasukan kami.

“Saya juga cukup gembira kerana rakan pasukan Amir Izham masih bersama sehingga kini di mana keserasian di antara menjadi bonus untuk kami mengejar podium kali ini.

“Pada perlumbaan kali ini kami menaruh kepercayaan pada jentera Honda Jazz GE yang ditala sepenuhnya oleh R&R Sports Speed Garage selaku rakan teknikal kami di mana kami optimis untuk memberi saingan kepada pasukan-pasukan yang mempunyai jentera lebih padu dari kami untuk berentap dalam kategori P10 nanti.

“Sudah tentu setiap pasukan inginkan kemenangan, inginkan podium seperti mana kami yang hadir dari jauh yang telah lama membuat persediaan untuk hujung minggu ini sekaligus menutup kalendar perlumbaan kami pada tahun ini,” ujar Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razali yang telah berkecimpung dalam perlumbaan rali sejak 2017 dan pernah dinobatkan juara pada tahun 2013 selaku juara keseluruhan Kejuaraan Rali Malaysia (Kategori Junior) 2012 bersama Azmeer Yusri Yusof.

Manakala buat Amir Izham yang akan beraksi selaku pemandu kedua pasukan menzahirkan tanda terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh pasukan kepadanya.

“Ya, ianya satu penghormatan amat besar buat saya di mana saya telah bersama East Coast Rallying sejak 2017. Saya akan melakukan yang terbaik dan amat mengharap tuah memihak kepada kami. Faktor cuaca tidak menentu dilihat tidak menjadi halangan buat kami di mana kami pernah berlumba dalam situasi yang amat mencabar sebelum ini.

“Sekiranya hujan ianya memberi kelebihan buat kami namun kami tidak mendoakan situasi yang lebih buruk,” kata Amir Izham yang juga merupakan pengasas bersama pasukan East Coast Rallying berpengalaman di arena sukan permotoran jentera lasak sejak 2008.

Amir Izham juga turut pernah dinobatkan juara keseluruhan Kejuaraan Rali Malaysia (Kategori Junior) 2012 bersama pelumba Dinie Nazmi Abd Rahman.