SKUAD ragbi kebangsaan nyata menunjukkan semangat yang tinggi demi membuktikan aksi terbaik pada Divisyen Premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC), yang akan bermula pada Jun depan.

Pengarah Kejurulatihan, Hamrizal Hamdan menegaskan bahawa pasukan ragbi 15-sebelah (15s) ini perlu melakukan persiapan yang lebih daripada musim lalu, supaya dapat memberi saingan hebat di Kejohanan ARC nanti.

Hamrizal yang turun padang ke sesi latihan yang diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim telah memerhatikan dan menilai keupayaan pemain-pemain ragbi 15s di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Mohd Farid Syazwan Abu Bakar.

“Apa yang saya perhatikan, pemain sudah memberi komitmen yang bagus dalam sesi latihan jadi kita harap semangat ini berterusan hingga ke hari kejohanan.

Hamrizal gembira melihat semangat yang dipamerkan skuad kebangsaan.

“Kita memang perlukan persiapan lagi rapi daripada sebelum ini agar kita dapat bersaing lebih cemerlang dalam kejohanan ARC tahun ini.

“Lebih-lebih lagi ada penambahan pasukan dari negara UAE pada ARC kali ini, jadi ia akan jadi lebih mencabar dan persiapan kita perlu jadi lebih bagus supaya dapat beri impak positif dalam kejohanan ARC tahun ini,” ujar Hamrizal.

Untuk maklumat, pasukan ragbi 15s kini berada di fasa latihan kedua bagi persediaan menghadapi saingan Asia Rugby Championship (ARC) Premier pada Jun ini.

Skuad negara dijadualkan membuka kempen ARC 2024 dengan bertemu dengan pasukan Korea Selatan di Incheon pada 2 Jun, kemudian menerima kunjungan Hong Kong 8 Jun dan bertemu UAE 21 Jun di Dubai.