TIADA perubahan besar dalam senarai 26 pemain kebangsaan yang dipanggil untuk memperkuat skuad Harimau Malaya, namun yang pastinya belum cukup masa untuk membolehkan Faisal Halim tersenarai ke dalam skuad yang bakal menggalas cabaran di Pestabola Merdeka bulan depan.
Ketua jurulatih bola sepak kebangsaan, Pau Marti Vicente mengekalkan 18 daripada 26 pemain daripada skuad terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyryz dan Chinese Taipei Jun lalu.
Mengulas mengenai peluang Faisal bersama skuad kebangsaan di masa hadapan, Pau Marti berkata, tahap kecergasan menjadi keutamaan pasukannya.
“Saya gembira apabila Faisal kembali beraksi dan menunjukkan kekuatan, karakternya dan itu sesuatu yang kita boleh pelajari dan membuatkan kita bangga.
“Saya tidak nafikan bahawa sentiasa berhubung dengannya tetapi buat masa ini, biar dia fokus kepada proses pemulihan, mendapatkan semula tahap kecergasan dan minit perlawanan untuk kembali ke tahap terbaik,” kata Pau Marti, dalam sidang media Pengumuman senarai 26 pemain ke kem latihan pusat Harimau Malaya menjelang Pestabola Merdeka 2024.
Seramai lapan pemain kembali disenaraikan ke skuad Harimau Malaya iaitu penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Arif Aiman Hanapi, Romel Morales dan Afiq Fazail.
Empat lagi pemain yang turut dipanggil memperkuat skuad kebangsaan kali ini adalah Azam Azmi Murad, Darren Lok, Harith Haiqal Adam Afkar dan Syafiq Ahmad.
Bekas pembantu jurulatih skuad remaja Barcelona itu menyifatkan pemain yang dipanggil kali ini adalah pemain yang terbaik dalam negara buat masa ini sekali gus mereka percaya barisan pemain ini mampu memberikan aksi mantap.
“Ini adalah pemain terbaik yang kita ada buat masa ini. Kita ada gabungan antara pemain berpengalaman dan pemain muda yang datang untuk belajar sesuatu dan bersedia apabila sudah tiba masanya.
“Kami memantau semua perlawanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan kebanyakan pemain yang dipanggil adalah pemain utama pasukan dan mendapat minit perlawanan yang tinggi.
“Jadi prestasi mereka dalam liga sangat penting kerana mereka sentiasa beraksi dalam tahap kompetitif yang tinggi,” katanya.