PAU Marti Vicente yang dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih skuad kebangsaan melaungkan semangat juang yang tinggi untuk menyambung legasi yang ditinggalkan oleh bekas jurulatih, Kim Pan-Gon.

Menurutnya, setiap perkara yang dilaksanakan oleh Pan-Gon akan tetap diteruskan beliau, juga barisan kejurulatihan yang lain bagi memastikan peningkatan positif skuad Harimau Malaya dapat diteruskan secara konsisten.

“Memang agak sedih apabila beliau telah meninggalkan pasukan. Beliau individu yang memberikan saya sokongan penuh untuk menggalas tanggungjawab baharu yang perlu saya pikul ini.

“Terima kasih kepada Datuk Hamidin Mohd Amin kerana memberikan kepercayaan ini. Tugas saya sekarang adalah untuk meneruskan apa yang kita telah lakukan di sepanjang tempoh dua setengah tahun ini.

Skuad Harimau Malaya akan menempuhi Pestabola Merdeka di bawah bimbingan Pau Marti.

“Semua barisan kejurulatihan sedia ada akan terus bersama untuk membawa pasukan kita ini ke tahap tertinggi yang boleh dan membangunkan pasukan ini secara bersama.

“Kita juga sentiasa bercakap soal konsistensi. Bukan untuk tempoh setahun dua. Tapi kita nak pasukan kita ini tampil dengan prestasi baik secara konsisten untuk tempoh selama mana yang boleh dan jangan sesekali kembali ke belakang.

“Jadi, selain perbincangan mengenai perancangan menjelang Pestabola Merdeka 2024 dan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, saya dan Hamidin turut sudah mula melakukan perancangan awal bagi memastikan persediaan menjelang Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan dibuat dengan lebih baik,” kata Pau Marti dalam kenyataan yang dikeluarkan FAM.

Pau Marti berjumpa dengan Hamidin Mohd Amin di Sepanyol pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Hamidin turut menyatakan kepercayaan terhadap Pau Marti yang diberi tanggungjawab untuk membimbing skuad Harimau Malaya, sekali gus akan menilai prestasinya untuk dua kejohanan terdekat tahun ini.

“Jadi kini walaupun Harimau Malaya tanpa Pan Gon, saya tetap mengharapkan agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan padu kepada Pau Marti dan skuad Harimau Malaya bermula dari Pestabola Merdeka 2024 pada September ini.

“Saya yakin dan percaya bahawa Pau Marti dan barisan kejurulatihan sedia ada termasuk E. Elavarasan akan meneruskan kesinambungan dan legasi yang ditinggalkan oleh Pan Gon bagi membawa cabaran skuad Harimau Malaya selepas ini,” jelas beliau.