KETUA jurulatih interim kebangsaan, Pau Marti Vicente tidak sabar untuk memulakan tugasannya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya dan dia yakin mampu menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Kim Pan-gon.

Dia juga gembira dengan pemilihan 26 pemain ke kem latihan pusat dengan objektif utama mereka adalah untuk memenangi perlawanan menentang Filipina pada kejohanan Pestabola Merdeka pada 4 September 2024.

“Saya sangat teruja dengan hari pertama sebagai ketua jurulatih dan tidak sabar untuk bertemu para pemain. Mereka semua ada disini dan saya sangat gembira untuk memulakan tugas sebagai jurulatih kebangsaan.

Pau Marti teruja jawat jawatan ketua jurulatih buat pertama kali

“Saya juga sangat gembira dengan pemilihan pemain dan ianya sukar buat saya untuk membuat pilihan kerana semuanya dalam keadaan cergas dan kerap bermain dalam saingan liga hingga saya terpaksa ketepikan beberapa pemain tetapi saya kini fokus kepada pemain sedia ada.

“Objektif kami di Pestabola Merdeka adalah untuk menang terlebih dahulu dengan Filipina dalam perlawanan pertama dan mahu pemain berikan kerjasama dan yakin mereka mampu berikan yang terbaik dan meraih kemenangan,” katanya ketika ditemui pada hari pertama kem latihan pusat.

Pau Marti juga mahu berhati-hati dengan Filipina meskipun mereka kehilangan ketua jurulatih dan itu mungkin menjadi masalah buat Malaysia tetapi dia hanya mahu para pemain fokus diri mereka sendiri.

“Saya tidak boleh katakan ianya berita baik buat kami tetapi kami hanya perlu fokus kepada diri sendiri sahaja. Filipina adalah pasukan yang sukar dan apabila mereka menukar jurulatih, ianya menjadi lebih sukar kerana tidak dapat menjangka persembahan mereka.

“Apa yang penting adalah kita perlu fokus pada persembahan kami serta persiapan dan keputusan yang baik pasti hadir kepada Malaysia,” jelasnya.

Pau Marti mengambil alih tugasan dari Kim Pan-gon yang meletakkan jawatan secara mengejut dan Pestabola Merdeka akan menjadi ujian pertama buat dirinya sebagai ketua jurulatih selepas menggalas tugas sebagai penolong jurulatih selama ini.