PEMAIN tengah skuad kebangsaan, Paulo Josue dan Stuart Wilkin percaya Harimau Malaya masih berpeluang untuk layak ke peringkat seterusnya jika berjaya mencapai kemenangan dalam baki dua perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Jun.

Malaysia yang sebelum ini selesa di tangga teratas kumpulan kembali tersentak apabila tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Oman dan kini berdepan tugasan berat untuk layak secara automatik ke Piala Asia 2027.

Kedua-dua pemain ini jelas kecewa dengan kekalahan kedua ini namun tidak mahu mencari alasan kekalahan sebaliknya mahu kembali fokus sebagai satu kumpulan dan kembali ke landasan kemenangan selepas ini.

Paulo Josue tidak mahu mencari alasan atas kekalahan

“Semestinya kami kecewa atas kekalahan ini tetapi segalanya belum tertutup kerana kami masih ada peluang dalam dua perlawanan selepas ini menentang Republik Kyrgyz di tempat lawan dan Chinese Taipei di Bukit Jalil.

“Ini bukan masanya untuk mencari kesalahan dan alasan tetapi kami sedikit kekurangan dari segi kecergasan permainan dan perlu kembali bekerja keras untuk bangkit dengan segera,” kata Josue yang ditemui selepas perlawanan.

Stuart Wilkin pula memberikan kredit kepada Oman atas keupayaan mereka mencipta dua kemenangan dan seperti Paulo, dia juga percaya Malaysia masih berpeluang dan tidak mahu melihat kekurangan kecergasan permainan sebagai faktor utama kekalahan Harimau Malaya dalam kempen kali ini.

Stuart percaya Malaysia masih mampu layak ke pusingan seterusnya

“Kredit kepada Oman kerana mereka adalah pasukan yang baik. Pelbagai faktor boleh menjadi penentu keputusan dan kecergasan perlawanan adalah salah satunya tetapi kita bekerja keras sebagai satu pasukan dan mempunyai kecergasan yang cukup untuk beraksi tetapi sayangnya keputusan tidak menyebelahi.

“Selepas ini ianya agak sukar tetapi bermula sekarang kami perlu kembali bekerja keras sebagai satu pasukan dan peluang masih ada untuk layak jika menang kedua-dua perlawanan kerana perkara positif mungkin berlaku,” jelasnya.

Pemain Harimau Malaya akan kembali menyertai kem latihan pusat pada Jun untuk menghadapi baki dua perlawanan Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz di Bishkek dan Chinese Taipei di Kuala Lumpur.