PEMAIN naturalisasi negara, Paulo Josue mengakui dua perlawanan Harimau Malaya menentang Oman ketika aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 adalah detik penting dalam sejarah bola sepak negara.
Malaysia yang kini sedang mendahului Kumpulan D dengan enam mata selepas memenangi dua perlawanan awal dan kini berpeluang mencipta sejarah layak ke peringkat seterusnya jika berjaya mencatatkan keputusan positif.
“Ini adalah perlawanan terpenting dalam sejarah bola sepak Malaysia kerana jika kita berjaya mendapat tiga mata di Oman, kita hanya selangkah sahaja lagi untuk ke peringkat seterusnya dalam Kelayakan Piala Dunia.
“Selepas itu, jika kita berjaya tewaskan mereka di tempat sendiri pula, kita sudah berjaya layak ke peringkat seterusnya untuk beraksi menentang pasukan-pasukan handalan Asia yang lain dan ini adalah perkara yang paling mustahak ketika ini,” katanya yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-35 pada Rabu.
Dia juga mahu rakan-rakan sepasukannya mengambil berat perlawanan ujian bertemu Nepal dan berharap mereka sekali lagi dapat membuktikan kemampuan seperti yang ditunjukkan ketika Piala Asia 2023 lalu.
“Kami perlu gunakan aksi bertemu Nepal untuk memperolehi minit dan kecergasan permainan. Ini penting untuk pemain perlu sentiasa bersedia dan berikan 100 peratus dalam perlawanan menentang Oman seperti yang telah ditunjukkan ketika bertemu Republik Korea kerana kita berjaya buktikan yang kita mampu melakukannya,” katanya lagi.
Malaysia kini dalam rangka persiapan akhir sebelum bertemu Oman di Muscat pada 21 Mac dan 26 Mac di Bukit Jalil dengan keputusan positif dari kedua-dua perlawanan ini bakal mencipta sejarah baharu buat Harimau Malaya.