LUPAKAN kekalahan lalu, sebalik tumpu terhadap aksi kedua perlawanan Piala Asia 2023 menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu ini.

Penyerang naturalisasi skuad Harimau Malaya, Paulo Josue berkata kem negara masih berpeluang mara dan layak ke Pusingan 16 tetapi perlu mencatat kemenangan sensasi ke atas Bahrain.

Katanya lagi, barisan kejurulatihan telah membuat analisis video mengenai perlawanan dengan Jordan untuk cuba memperbaiki kelemahan untuk aksi seterusnya.

“Kesemua pemain perlu fokus untuk perlawanan kedua kerana kami tetap ada peluang,” kata pemain kelahiran Brazil yang beraksi untuk Kuala Lumpur City FC.

Mengulas lanjut, Josue yang meledak empat dalam sembilan penampilan bersama Harimau Malaya tetap mengakui misi menjinakkan menundukkan Bahrain yang berada di ranking 86 dunia itu dijangka lebih sukar.

Apa tidaknya, rekod pertemuan kedua-dua pasukan menyaksikan Malaysia tidak pernah menang ke atas Bahrain dengan kali terakhir menumbangkan skuad The Reds itu pada 1978.

“Kami menyaksikan perlawanan Bahrain ketika mereka berjaya mencipta masalah buat pasukan Korea,” ujarnya lagi.

Selepas itu, kedua-dua pasukan sudah bertemu 12 kali dengan skuad Harimau Malaya gagal melakar kemenangan apabila sekadar mampu seri tiga kali dan tunduk tujuh kali.

Pertembungan terakhir adalah pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun 2022 lalu, Malaysia tewas 1-2 sebelum bangkit menewaskan Bangladesh untuk menamatkan badi 43 tahun layak secara merit ke Piala Asia di Qatar ketika ini.