KETUA pasukan Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue gembira dan berbangga dapat beraksi di pentas final Piala AFC 2022 dan jika menang dia mahu mendedikasikan kemenangan dan piala itu kepada Malaysia.
Dia yang bersama-sama KL City sejak beraksi di Liga Premier sedar perlawanan pada Sabtu bukan mudah dan dia berharap dapat memberikan penyokong KL City sesuatu yang boleh dibanggakan dalam hidup mereka.
Josue yang menyertai KL City pada 2017 juga mahukan rakan sepasukannya untuk memberikan persembahannya terbaik dan juga mahukan barisan pertahanan bermain dengan gila dalam mempertahankan benteng.
“Saya gembira dan bangga untuk berada di tahap ini serta tidak sabar untuk beraksi kerana kami akan berjuang hingga tamat permainan untuk membawa pulang kejuaraan ini kepada Kuala Lumpur dan Malaysia.
“Perlawanan pada Sabtu semestinya sukar tetapi kami sudah bersedia dan selepas mengharungi tiga perlawanan di tempat lawan kami yakin kami mampu untuk bersaing dalam final kali ini tetapi kami perlu lebih bertenang dan tidak melakukan sebarang kesilapan.
“Kami mengambil pendekatan satu perlawanan pada setiap masa. Keadaan yang berbeza dalam setiap perlawanan, terlalu panas di India dan terlalu sejuk di Uzbekistan, namun segalanya berjalan lancar kini dan kami mahu memberikan sesuatu yang boleh dibanggakan oleh penyokong kelab ini.
“Al-Seeb adalah pasukan yang bagus tetapi sekiranya kami mampu bertahan dan mengelak daripada dibolosi kami akan mempunyai peluang untuk muncul juara. Kami percaya kami mampu mengekang asakan mereka dan berharap barisan pertahanan kami akan beraksi dengan gila dalam perlawanan akhir ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
🗣 “This is a huge place. We need all of you to come and support 🇲🇾 @KLCityFootball !”
Paulo Josue is banking on fan support for tomorrow’s #AFCCupFinal! pic.twitter.com/Vp7kZ6piV1
— #AFCCup2022 (@AFCCup) October 21, 2022
Selain mencari kejuaraan, Josue juga berpeluang muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan ini apabila kini terikat di tangga teratas dengan lima gol dan hanya dia yang masih bermain dan belum tersingkir dari kejohanan.
Kuala Lumpur City FC terkenal dengan kekentalan barisan pertahanan dan penjaga gol yang hebat apabila berjaya layak ke final menerusi dua penentuan penalti selepas terikat 0-0 dalam 120 minit perlawanan masing-masing ketika bertandang ke Hanoi menentang Viettel dan ketika bertemu Sogdiana Jizzakh di Uzbekistan.