PEMAIN naturalisasi baharu negara, Paulo Josue teruja apabila namanya tersenarai dalam senarai 27 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Johor Bahru.
Apa yang lebih menarik perhatian pemain Kuala Lumpur City FC ini adalah, panggilan pertamanya ke skuad kebangsaan menyaksikan dia bakal berkampung di Johor Bahru dan akan menggunakan fasiliti latihan canggih serta bermain di stadium yang padanya adalah yang terbaik di negara ini.
Dia turut menyatakan fasiliti latihan yang lengkap ini adalah punca utama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul pasukan terbaik dalam negara kerana ianya membantu perkembangan pemain dalam era bola sepak moden.
“Saya teruja untuk bersama skuad kebangsaan dan saya pernah berbincang dengan rakan sepasukan tentang berkampung di Johor. Perkara paling berbeza yang dapat saya lihat adalah keadaan padang, fasiliti dan suasana di Johor yang lengkap.
“Tidak adil untuk membandingkan fasiliti di Johor dengan di Kuala Lumpur kerana kelab ini masih bergelut untuk berikan yang terbaik buat pemain. Saya tidak sabar untuk bersama rakan-rakan yang baharu dan merasai sendiri suasana dan fasiliti di sana.
“Atas sebab itulah JDT adalah pasukan terbaik di negara ini kerana mereka mempunyai fasiliti cukup baik yang membantu pemain menjadi lebih baik dalam perkembangan bola sepak mereka,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Johor dipilih sebagai venue tuan rumah skuad Harimau Malaya untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 selepas gelanggang rasmi Stadium Nasional Bukit Jalil ditutup untuk kerja penyelenggaraan padang.
Ini sekali gus memberikan peluang buat para pemain yang dipilih untuk berlatih di Pusat Latihan JDT yang serba lengkap dan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim yang mempunyai padang terbaik di negara ini ketika ini.