POLIS belum mengenalpasti motif serangan yang dilakukan terhadap tiga pemain Harimau Malaya dan siasatan dilakukan secara menyeluruh termasuk kemungkinan ada kaitan dengan isu surat layang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil siasatan awal bagaimanapun mendapati modus operandi serangan terhadap tiga pemain bola sepak itu, ada persamaan.

Faisal Halim yang melecur di bahagian badan akibat simbahan  asid sulfurik.

As far as motif is concerned, kita masih belum mendapat sebab atau possible motif.. sebab serangan pertama melibatkan kerugian, serangan yang kedua melibatkan kecederaan dan serangan yang ketiga kerugian dari sudut merosakkan kenderaan,” kata Suhaily, dalam sidang media berkaitan insiden serangan ke atas pemain bola sepak, di Bukit Aman.

Beliau turut berkongsi perkembangan skop siasatan yang kini membabitkan laporan dua ahli pengurusan Selangor FC yang mendakwa menerima panggilan telefon berbaur ugutan daripada individu tidak dikenali.

Akhyar disamun lalu dipukul oleh individu tidak dikenali pada 2 Mei lalu.

“Kita melihat dari sudut keseluruhan, adakah tohmahan yang diberikan kepada FAM sebulan yang lalu.. ketika SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mengatakan bahawa tohmahan itu tidak berasas dan adakah kenyataan tersebut membawa kepada tindakan sebegini, ketidakpuasaan, hati terhadap FAM, dan diluahkan kepada pemain-pemain kebangsaan,” ujar beliau lagi.

Safik Rahim diserang hingga kereta miliknya dirosakkan.

Sementara itu, Suhaily memaklumkan bahawa seorang daripada suspek yang ditahan susulan serangan ke atas Faisal Halim, telah dibebaskan manakala seorang lagi masih dalam tahanan.

Katanya, suspek kedua dipercayai mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan kini direman lima hari untuk siasatan lanjut.