PDRM FC yang mencipta kejutan apabila berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC 1-0 untuk kemenangan pertama mereka dalam Liga Super musim ini mahu meneruskan momentum kemenangan apabila berhadapan Terengganu FC di laman lawan.
The Cops yang telah diletakkan sebarang harapan oleh peminat bola sepak tempatan membuktikan telahan itu salah apabila sudah berjaya mengumpul empat mata dari tiga perlawanan dan menduduki tangga keenam liga.
Berhadapan Terengganu FC yang masih mencari kemenangan dan jaringan pertama musim ini bukanlah cabaran yang mudah buat anak-anak buah Azzmi Aziz namun pengendali itu mempunyai perancangan tersendiri untuk mematikan skuadnya pulang dengan keputusan yang positif.
“Perancangan kami untuk perlawanan menentang Terengganu adalah sama seperti di Kedah dengan kami perlu berhati-hati dan fokus kepada bertahan dengan baik terlebih dahulu dan menggunakan serangan balas jika mempunyai peluang untuk melakukannya.
“Terengganu adalah pasukan yang baik namun mereka masih belum menemui rentak kemenangan. Oleh itu pemain perlu fokus sepanjang 90 minit perlawanan terutama ketika bertahan dan berharap kami mampu untuk terus menghalang mereka dari menjaringkan gol sulung,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Kehadiran beberapa pemain import yang mempunyai rekod yang baik di Liga Super seperti Uche Agba dan Bruno Suzuki dilihat boleh membantu PDRM menjaringkan lebih banyak gol kerana skuad Sang Saka Biru hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja setakat ini.
Selepas tewas kepada Sabah FC pada perlawanan pertama, PDRM mengutip satu mata selepas terikat dengan Perak sebelum merampas tiga mata penuh dari Stadium Darul Aman dalam aksi hangat yang menyaksikan pemain dan jurulatih Kedah dibuang padang.