PASUKAN PDRM FC memberikan jaminan bahawa pemain skuad Sang Saka Biru tidak akan berhadapan dengan masalah gaji seperti yang sedang melanda beberapa pasukan dalam Liga Malaysia musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PDRM FC, ASP Mohamad Hafiz Zainal Abidin yang turut mengakui PDRM FC beruntung kerana mempunyai pemilik yang pemurah dan sentiasa menjaga kebajikan para pemain.

ASP Hafiz juga menegaskan skuad mereka adalah antara pasukan dengan bajet yang terendah dalam Liga Super dan keadaan itu kadang kala sedikit menyukarkan mereka untuk mengekalkan pemain yang mungkin ditawarkan gaji yang lebih besar dari kelab lain.

Ketua Pegawai Eksekutif PDRM FC, ASP Mohamad Hafiz Zainal Abidin beri jaminan pasukannya tidak akan berdepan masalah gaji

“Secara jujurnya kami memang sedikit bergelut dengan dana tetapi bernasib baik kerana mempunyai pemilik yang murah hati dalam menjaga kebajikan pemain terutama dari segi pembayaran gaji.

“Berdasarkan kedudukan kewangan yang kami ada dan dilihat pada kedudukan kami dalam liga, ianya cukup membanggakan dan saya boleh beri jaminan tidak akan ada masalah gaji dalam pasukan ini,” katanya dalam sidang media sesi pengumuman radio rasmi, duta dan laman portal rasmi PDRM FC.

PDRM FC mengumumkan sebuah stesyen radio swasta sebagai radio rasmi selain melantik dua ‘influencer’ terkenal serta seorang artis sebagai wajah rasmi pasukan dalam usaha menarik lebih ramai penyokong ke stadium.

Dalam sidang media yang sama, ASP Hafiz turut menyatakan pihaknya terpaksa menerima keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang hanya memberikan dana penukaran rumput kepada kerajaan negeri sahaja dan mereka terpaksa kekal bermain di rumput jenis ‘cow grass’ di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

“Kami telah mengajukan tentang perkara ini ketika mesyuarat MFL di Johor kerana dana itu hanya diberikan kepada kerajaan negeri dan kami tidak terlibat dalam perkara ini.

“Oleh itu kami perlu terima dengan apa yang kami ada sekarang namun Majlis Perbandaran Selayang telah memberikan banyak bantuan kepada kami dari segi penjagaan stadium namun terpaksa akur dengan keadaan padang yang mungkin menjejaskan perlawanan jika cuaca hujan,” jelasnya.

Selepas tamat pusingan pertama Liga Super, PDRM FC kini berada di tangga kelima dengan 15 mata namun itu bukan jaminan mereka boleh bergembira dan masih perlu bekerja keras untuk menghadapi cabaran di pusingan kedua dan Piala Malaysia.