PENGENDALI PDRM FC, Azzmi Aziz berharap para pemainnya dapat mengelak dari melakukan kesilapan pada awal permainan terutama dalam kotak penalti jika ingin menyekat kemaraan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Rabu.
PDRM yang sebelum ini tewas di tangan lawan yang sama pada saingan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim mempamerkan aksi bertahan yang baik terutama pada babak kedua meskipun tewas 0-3 sekaligus tersingkir dari saingan.
Azzmi juga berkata fokus pasukannya adalah sama iaitu bertahan dengan baik dan mengharapkan serangan balas meskipun sedar kualiti yang ada pada juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.
“Seperti juga permainan di Stadium Sultan Ibrahim, kami akan fokus kepada taktikal bertahan dan akan cuba melakukan serangan balas jika berpeluang tetapi apa yang paling utama adalah pemain tidak melakukan kesilapan terutama dalam petak penalti ketika awal permainan.
“Kita sedar JDT adalah pasukan yang sangat bagus. Walaupun kita cuba untuk menyekat, mereka tetap berjaya masuk ke kawasan kotak penalti dan mencipta peluang dan kami mengharapkan keputusan yang positif pada aksi kali ini,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
‘Roadblock’ yang dilakukan skuad Sang Saka Biru dilihat berjaya menyekat PDRM dari dibolosi lebih banyak seperti yang terjadi kepada semua pasukan yang bertemu JDT sebelum ini dan Azzmi pastinya mahu para pemainnya meneruskan aksi seperti itu.
Dia juga bimbang dengan keadaan padang di Stadium MBPJ kerana terdapat satu lagi perlawanan antara Selangor FC dan Terengganu FC yang berlangsung pada Selasa yang mungkin boleh menjejaskan kualiti padang terutama jika hari hujan di sekitar Kelana Jaya.
Dia juga tidak peduli dengan rungutan Ketua Jurulatih dan Pengurus JDT, Esteban Solari yang mengatakan PDRM akan bermain dengan taktikan memarkir bas kerana padanya itu adalah sebahagian daripada taktikal dalam permainan bola sepak.
PDRM FC juga akan turun tanpa kelibat pemain tengah importnya, Fadi Awat yang dilayangkan kad merah ketika aksi liga bertemu Penang FC sebelum ini dan ianya sedikit sebanyak menggangu persiapan pasukan terutama di bahagian tengah.