SAINGAN Piala Malaysia musim 2023 mengalami sedikit perubahan dari segi penjadualan apabila akan dilangsungkan serentak dengan pertandingan Liga Super .

Manakala perlawanan akhir Piala Malaysia tidak lagi menjadi perlawanan terakhir Liga Malaysia.

Piala Malaysia dijadualkan bermula pada minggu pertama Ogos 2023 dan berakhir pada 9 Disember 2023 dengan undian bakal diadakan pada Khamis, 15 Jun 2023 melibatkan 14 pasukan Liga Super dan 2 pasukan dari Liga M3.

Lapan pasukan teratas Liga Super ketika berakhir saingan pusingan pertama akan diletakkan dalam balang pertama sebagai pasukan ‘seeded’ manakala baki enam lagi pasukan Liga Super dan dua pasukan teratas Liga M3 akan diletakkan dalam balang kedua sebagai pasukan ‘unseeded’.

 

Melihat kepada perkembangan ini, pengendali PDRM FC, Azzmi Aziz jika boleh mahu mengelak daripada bertemu pasukan elit Liga Super lebih awal kerana mahu memberikan saingan dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

PDRM FC menamatkan pusingan pertama Liga Super ditangga kesembilan selepas mencatatkan aksi memberangsangkan dengan lima kemenangan sekaligus dianggap pakej paling mengejutkan musim ini dan akan diletakkan dalam balang kedua.

“Kalau boleh memang kami nak elak seperti ketika undian Piala FA lalu kami terus diundi bertemu Johor Darul Ta’zim dan itu menyebabkan kami tidak berpeluang melangkah lebih jauh dan kalau boleh kami nak elak pasukan elit pada perlawanan pertama.

“Saya masih tidak dapat bermain cara permainan yang saya gemari iaitu penguasaan bola cuma saya perlu bijak disini untuk adaptasi kepada apa yang ada dalam pasukan ini jadi kami ketika ini bermain secara defensif yang mana ianya baik untuk kami tetapi saya yakin pasukan ini boleh bermain lebih offensif selepas ini,” katanya.

Sebagai rekod, PDRM tersingkir di pusingan 16 terbaik Piala Malaysia musim lalu apabila tewas kepada juara bertahan, Kuala Lumpur City FC 4-0 menerusi aggregat dan sudah tentu Sang Saka Biru mengharapkan satu undian yang memihak kepada mereka untuk pertandingan musim ini.