MESKIPUN tewas dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super dan tersingkir dari saingan Piala FA, PDRM FC kekal tenang dan kini fokus untuk mendapatkan tiga mata penuh apabila berkunjung ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada Khamis.
Pengendalinya, Azzmi Aziz berkata walaupun mereka sedar bukan mudah untuk menentang Kuala Lumpur City FC di laman sendiri, dia berharap para pemainnya cepat mengadaptasi keadaan terutama dalam menyerap tekanan.
Skuad Sang Saka Biru mendapat pujian para peminat bola sepak tempatan apabila berjaya mengekang Johor Darul Ta’zim dari berpesta gol walaupun tetap tewas 1-0 dalam aksi di laman sendiri, Rabu lalu.
“Secara keseluruhan dari segi moral, pasukan berada dalam keadaan yang baik walaupun keputusan tidak memihak kepada kami pada perlawanan sebelum ini. Kami masih percaya kepada diri kami dan akan fokus untuk mencari tiga mata ketika menentang KL City.
“Dalam tiga perlawanan sebelum ini, kami tewas kepada Sri Pahang 2-1 meskipun kami mengawal perlawanan dan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol dan ketika menentang Penang FC pula, kami terikat 2-2 sebelum kad merah mengubah keputusan perlawanan.
“Tewas 1-0 dengan JDT adalah satu keputusan yang positif buat kami sebenarnya berdasarkan kemampuan kewangan dan persiapan pasukan kami,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Kuala Lumpur City pula kini berada pada tahap prestasi terbaik selepas mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut untuk kembali di kelompok pertengahan liga dan ianya pasti satu tugas berat buat PDRM FC untuk melakar kejutan.
“Kita tahu KL City berada pada prestasi terbaik dan kita akan menentang mereka di laman lawan, tetapi saya berharap pemain cepat sesuaikan diri dengan keadaan dan membawa pulang keputusan yang positif buat kelab.
PDRM FC kini berada di tangga kesepuluh liga dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu keputusan seri dan kemenangan boleh melonjakkan mereka ke tangga keenam sekaligus mengekalkan status mereka sebagai ‘giant killer’.