HAJAT Selangor FC untuk meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Super tersekat apabila diikat PDRM FC 1-1 dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sekaligus terlepas peluang mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga.

Ketika gol tunggal Gergasi Merah yang dijaringkan Alvin Fortes pada minit ke-15 dilihat bakal memberikan tiga mata penuh, Aremu Oluwaseun menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan babak kedua untuk memastikan satu mata dikongsi antara kedua-dua pasukan.

Nasib malang Selangor berganda apabila terpaksa membayar dengan harga yang tinggi selepas pemain tengah, Noor Al Rawabdeh mengalami kecederaan yang mungkin akan menyaksikan dia terlepas aksi Liga Juara-Juara AFC 2 pada Rabu.

PDRM FC

Selangor menguasai sebahagian besar permainan namun masih tidak berjaya menambah jaringan dengan PDRM kental bertahan hingga meresahkan lebih 4,000 penyokong yang hadir.

Skuad kendalian P.Maniam dilihat sedikit bergelut untuk mengawal permainan dengan hanya beberapa percubaan berbahaya dapat dicipta hingga memaksa pertukaran barisan hadapan.

Selangor FC

Pertukaran itu nyata membuahkan hasil dan PDRM sekali lagi membuktikan mereka adalah ‘giant killer’ musim ini dengan berjaya mencuri mata dari pasukan-pasukan utama Liga Super.

Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Selangor tidak berjaya mendapat tonik tambahan menjelang dua aksi penting menentang Jeonbuk Hyundai Motors dan Johor Darul Ta’zim selepas ini.

Keputusan ini menyaksikan Selangor kekal di tangga kedua manakala PDRM juga kekal di tangga kelima selepas melengkapkan aksi pusingan pertama liga.