PENANG FC akhirnya berjaya membuka akaun jaringan untuk saingan liga musim ini selepas Rodrigo da Silva Dias menjaringkan gol ketika keputusan seri 1-1 dicatat di Selayang menentang PDRM FC.
Pasukan kendalian Akmal Rizal itu tidak menjaringkan sebarang gol dalam dua perlawanan liga sebelum ini, mencatat dua seri tanpa jaringan.
Pasukan The Cops yang berjaya membenamkan sebuah lagi pasukan utara, Perak FC dalam perlawanan minggu lalu mahu mengekalkan momentum kemenangan itu.
Babak pertama memperlihatkan Penang FC menguasai permainan dan telah melakukan beberapa percubaan terhadap gawang gol PDRM seawal 10 minit pertama.
The Cops membina keyakinan dalam permainan dan mereka mula melancarkan beberapa serangan bahaya. Eizrul Ashraf mempunyai dua percubaan pada minit ke-18 namun kedua-dua percubaan itu berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Penang FC, Sikh Izhan.
Ifedayo Olesegun berjaya memecah kebuntuan apabila beliau berjaya menewaskan Rafael Vitor di udara untuk menjaringkan gol hasil tandukan pada minit ke-32.
Tersentak dengan jaringan itu, Penang FC menekan pertahanan The Cops untuk mencari gol penyamaan dan mereka hampir berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-45 oleh Khairu Azrin namun percubaannya tersasar.
Gol penyamaan Penang FC akhirnya muncul pada babak kedua apabila Rodrigo da Silva Dias menjaringkan gol pada minit ke-52 selepas Adib Raop berjaya melepasi beberapa pemain PDRM sebelum menyumbangkan assists.
Hujan lebat yang turun pada 30 minit terakhir perlawanan sedikit sebanyak merencatkan permainan kedua-dua pasukan. Keputusan seri 1-1 kekal sehingga tamat permainan.
PDRM FC telah mengutip 4 mata dan berada di kedudukan ke-5 manakala Penang FC pula mengutip 3 mata selepas mencatat tiga seri untuk berada di kedudukan ke-6 dalam carta liga.